Pemuda Umno Kedah mempersoal ‘kehilangan’ pemimpin Pakatan Harapan ketika rakyat Kedah berdepan musibah banjir sejak Jumaat lalu.
Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mendakwa, sebahagian besar pemimpin Pakatan Harapan dilihat mengambil sikap lepas tangan dan tidak ambil peduli pengundi yang memilih mereka selama ini.
“Isu pengurusan banjir kali ini menyerlahkan kelemahan pemimpin Pakatan Harapan, sama ada adun mahupun ahli parlimen, antaranya Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung, Datuk Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena) dan Datuk Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani),” katanya.
Menurutnya, sebahagiannya langsung menghilangkan diri dan lambat bertindak, malah kurang peduli terhadap mangsa banjir.
“Kehilangan mereka umpama lirik lagu popular ‘hang pi mana, hang pi mana’. Kita kesal kerana mereka hanya sibuk bicara soal mahu bina negara, berceramah menghasut sana sini sedangkan keperluan mangsa banjir di kawasan terabai,” katanya.
Shaiful Hazizy berkata, berbanding jentera Umno yang tampil mengambil peranan diabaikan wakil rakyat pembangkang yang hanya berterusan dibuai angan mahu menguasai Kedah.
“Ini berbeza dengan tindakan pro aktif Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang memastikan jawatankuasa bencana negeri dikordinasi dengan cekap. Malah beliau mengambil pendekatan meninjau sendiri kesemua pusat pemindahan banjir di daerah terlibat,” katanya.
Menurutnya, ini bagi memastikan keperluan asas mangsa banjir disediakan, selain bantuan kesemua agensi diselaraskan agar cepat diagihkan serta menyelaras khidmat bantuan susulan selepas banjir.
“Banjir kali ini tidaklah seteruk banjir besar 2010, ketika kerajaan Pakatan Harapan terkapai kapai mengurus bantuan bencana sehingga memerlukan campur tangan pusat selain jentera BN yang ke hadapan meskipun bergelar pembangkang ketika itu,” katanya.
Shaiful Hazizy berkata, bezanya banjir kali ini hanyalah kesan air dari hulu yang melimpahi sungai utama, di mana kesannya sudah dijangka.
“Dengan adanya projek tebatan banjir yang akan siap 2018, kelak banyak kawasan di negeri ini terhindar dari bencana banjir,” katanya.
Menurutnya, sekiranya aspek pengurusan risiko dan krisis melibatkan rakyat gagal difahami pimpinan Pakatan Harapan, bagaimana mereka mahu memenuhi keperluan rakyat Kedah ekoran sikap tidak peduli yang diamalkan.
“Mereka hanya bijak memberi alasan, berbanding berusaha melakukan tindakan seperti mana dilakukan BN dalam soal pengurusan bencana. Nyatalah Pakatan Harapan bukan opsyen terbaik untuk menjadi pilihan rakyat atas tindak tanduk mereka yang cukup mengecewakan,” katanya.
Ini membuktikan Pakatan Harapan tidak layak menjadi sebuah kerajaan alternatif, atau ‘kerajaan menunggu’ yang mampu menggalas tanggung jawab membela rakyat.
Hujan lebat berterusan selama empat hari selain air pasang besar menyebabkan beberapa buah daerah di Kedah, iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Kuala Muda/Yan dilanda banjir kilat.