Tuduhan Tidak Berasas Mengatakan Kedah Mengemis Ihsan Persekutuan - Ahmad Bashah


YAB Menteri Besar, Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kerajaan negeri tidak pernah 'mengemis' ihsan kerajaan persekutuan untuk mendapatkan peruntukan bagi projek-projek mega yang dirancang di negeri ini.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat dipimpin YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan keperluan rakyat secara adil termasuklah untuk Kedah.

"Saya tidak setuju kalau kata Kerajaan Kedah mengemis daripada Kerajaan Persekutuan, ...apa yang berlaku selama ini ialah saya bincang dan mohon, malah pelbagai peruntukan disalurkan (Kerajaan Persekutuan) bagi membantu Kedah.

"Selama ini, Perdana Menteri banyak membantu Kedah, malah negeri lain pun memerlukan bantuan Kerajaan Persekutuan, ...apa yang saya boleh tegaskan Perdana Menteri tidak pernah menghampakan kedah dan beliau amat membantu Kedah.

"Kementerian lain juga sentiasa bersedia membantu Kedah dengan pelbagai projek yang bernilai jutaan ringgit," katanya ditemui ketika sesi rehat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kritikan Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam ketika Sidang DUN Kedah bahawa kerajaan negeri terpaksa mengemis kepada Kerajaan Persekutuan bagi memperoleh peruntukan, biarpun kerap menjaja Kedah mempunyai hubungan baik dengan pusat.

Tegas Ahmad Bashah, YAB Perdana Menteri melayan semua negeri mengikut keperluan rakyat dengan mengambil kira yang mana perlu didahulukan.

"Sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan membantu kerajaan negeri, bantu untuk kepentingan rakyat maka bantuan tetap akan disalurkan.

"Justeru itu tidak perlulah membandingkan Kedah dengan negeri lain seperti Sarawak dengan mengatakan Kedah dapat peruntukan sikit, manakala Sarawak dapat banyak...ini kerana pelbagai eleman diambil kira Perdana Menteri dan itu budi bicara dan kebijaksanaan beliau.

"Mukhriz kerap memainkan isu terbabit sedangkan pada zaman beliau memerintah, beliau langsung tidak meminta peruntukan demi rakyat Kedah," jelas Ahmad Bashah. 

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post