DYMM Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, menasihatkan bakal jemaah haji dari negeri ini supaya menjaga nama baik Malaysia sepanjang berada di Tanah Suci.
Baginda bertitah, patuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi supaya hubungan baik antara kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi sentiasa terjaga.
"Jutaan umat Islam dari seluruh dunia akan berkumpul untuk menyerah diri kepada Allah. Ini juga mengajar umat Islam untuk bertoleransi dan berkasih sayang tanpa mengira warna kulit, adat dan budaya.
"Semua bakal jemaah perlu ambil iktibar haji dengan bersatu hati tanpa melihat perbezaan dan elak perbalahan demi kesejahteraan ummah.
"Peliharalah kelakuan kerana selama ini, jemaah dari Malaysia dipuji kerana baik dan berdisiplin. Bakal jemaah dari Kedah, patuhi arahan dan jangan libatkan diri dengan kegiatan haram yang boleh menjejas nama baik sendiri dan negara," titah baginda.
Baginda bertitah sempena majlis mengucapkan selamat jalan kepada seramai 287 jemaah haji dari Kedah, di sini, hari ini.
Titah ucapan baginda dibacakan oleh DYMM Raja Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.
DYMM Raja Puan Muda Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff, turut berkenan hadir pada majlis berkenaan.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Kedah, Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Sultan Abdul Halim turut menitahkan jemaah supaya menjaga kesihatan sepanjang berada di Tanah Suci.
"Janganlah terlalu tumpu kepada ibadat tanpa mempedulikan kesihatan diri.
"Elakkan juga daripada melakukan pembaziran masa dengan perkara tidak berfaedah kerana ia boleh menganggu usaha mengejar haji mabrur.
"Penuhi masa terluang dengan memperbanyakkan amalan wajib dan sunat, zikir, membaca al-Quran dan solat," titah baginda.