Sekolah Sebagai Hab Komuniti Masyarakat - Mahdzir Khalid


PADANG TERAP - Kerajaan memperuntukkan RM27.5 juta untuk melaksanakan Program My New School tahun ini, iaitu menaiktaraf kemudahan sekolah untuk manfaat masyarakat setempat.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata projek menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu bertujuan menjadikan sekolah sebagai hab komuniti seperti mengadakan ceramah bahaya dadah atau tempat memeriksa dan menderma darah.

Beliau berkata, sehingga kini empat sekolah terpilih dengan masing-masing menerima dana RM5 juta dan peruntukan selebihnya dalam proses perbincangan.


Katanya, empat sekolah yang sudah menerima peruntukan itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rawa di sini, SK Ulu Yam di Selangor, SK Selandar di Melaka dan SK Kampung Acheh di Pahang.

"Peruntukan RM7.5 juta lagi untuk disalurkan kepada empat lagi sekolah iaitu SK Dato' Klana Putra di Negeri Sembilan dan SK Pandasan di Sabah yang masing-masing membabitkan peruntukan RM3 juta.

"Sebanyak RM1 juta untuk pembangunan dewan di Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut dan kerja penyelenggaraan di SK Datin Fatimah di sini, dengan kos RM500,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian NBOS My New School di SK Datin Fatimah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Kedah, Datuk Azuyah Hassan dan Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd Khalid.

Sempena program itu, PTPTN diwakili Mastura turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM12,000 kepada 240 pelajar SK Datin Fatimah bagi membolehkan mereka membuka akaun SSPN.

Mengulas lanjut mengenai program My New School, Mahdzir berkata, ideanya adalah untuk memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada dengan kerjasama kementerian serta agensi lain.

Beliau berkata, sekolah daif yang terpilih dinaiktaraf melalui pembangunan fizikal membabitkan pembinaan infrastruktur menggunakan bahan mesra alam manakala tempoh siap juga singkat.

Katanya, sekolah dengan kemudahan terkini boleh dijadikan hab komuniti untuk mengadakan kegiatan kemasyarakatan, iaitu agensi kerajaan boleh mengadakan program dan memberi khidmat kepada rakyat.

"Sebagai contoh jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mengadakan penerangan berkaitan jenayah dadah atau Kementerian Kesihatan pula mengadakan pemeriksaan darah dan kesihatan,"

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post