YAN: Pengurusan sekolah aliran agama persendirian disaran mengimbangi silibus pendidikan akademik dan kokurikulum bagi memberi nilai tambah kepada pelajar aliran itu apabila memasuki pasaran pekerjaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pembabitan pelajar sekolah agama dalam bidang kokurikulum bukan saja memberi manfaat kepada mereka sendiri, malah kepada negara jika terpilih mewakili negara.
"Kita akui kekangan dihadapi pihak pengurusan sekolah agama dari aspek kawasan yang terhad... ada sekolah yang tiada padang dan dewan permainan menyebabkan mereka sukar untuk melakukan aktiviti sukan, sekali gus kokurikulum tidak menjadi subjek tumpuan.
"Di peringkat kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kita anjurkan sukan di peringkat sekolah termasuk di peringkat kebangsaan untuk sekolah agama.
"Kita juga adakan sukan di peringkat Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) yang boleh dijadikan sebagai landasan untuk pelajar dalam aliran ini mempamerkan bakat mereka dalam acara sukan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan kepada Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan sekolah pondok bagi Zon Utara di Pejabat Agama Yan di sini, hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak RM10.18 juta bantuan diagihkan kepada 26 SMAR dan 18 sekolah pondok di Kedah, manakala RM2.39 juta diberikan kepada tujuh SMAR dan empat sekolah pondok dari Pulau Pinang.
Turut hadir, Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha dan Mufti Negeri Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.
Jamil Khir berkata nilai sumbangan yang diberikan kepada penerima berbeza berdasarkan bilangan pelajar sekolah masing-masing.
Syarat untuk mendapat bantuan adalah sekolah perlu berdaftar di neg7eri masing-masing.
"Saya dapat tahu masih ada sekolah agama persendirian yang tidak berdaftar... alasannya saya tidak pasti, mungkin disebabkan mereka tidak prihatin atau sudah ada dana yang cukup untuk keperluan sekolah," katanya.