KODIANG: Orang ramai dinasihat tidak terpedaya dengan berita yang tersebar kononnya Tabung Haji bankrap sehingga menyebabkan ada jemaah haji terkandas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata berita itu tidak benar kerana isu jemaah haji terkandas berpunca daripada masalah pengeluaran visa oleh kerajaan Arab Saudi.
"Saya dihubungi beberapa individu yang bertanyakan betul atau tidak jemaah yang terkandas kerana Tabung Haji bankrap disebabkan tidak mampu nak membeli tiket kapal terbang.
"Ini tidak benar... isu visa dapat atau tidak bergantung kepada pihak Arab Saudi. Jadi orang ramai perlu hentikan dakwaan ini," katanya ketika berucap merasmikan cawangan Bank Islam ke-147 di Pekan Kodiang, di sini, hari ini.
Pembukaan Bank Islam di Kodiang menjadikan jumlah keseluruhan 12 bank itu di Kedah, dengan keseluruhan 27 cawangan di wilayah utara.
Pada majlis itu, pesara guru, Ab Razak Musa, 61, memperoleh 'durian runtuh' apabila diumum pemenang cabutan bertuah RM1 juta melalui simpanan akaun Al-Awfar.
Mengulas lanjut isu jemaah haji terkandas, Jamil Khir berkata sehingga kini hanya seorang yang masih mengalami masalah itu dan pihaknya yakin ia dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
"Daripada 1,400 orang yang berdepan masalah itu, hanya seorang jemaah haji yang masih terkandas. Jumlah yang terkandas sebenarnya tidak ramai, tetapi kerana individu yang terkandas saling berkaitan jadi kes berkenaan nampak seperti besar.
"Ada kes suami yang terkandas, jadi isterinya tidak mahu pergi... ada pula kes hingga membabitkan lapan individu kerana mereka saudara mara," katanya.