Masalah dalaman dihadapi kontraktor antara faktor yang dikenal pasti menyebabkan kerja-kerja pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lencongan Sungai Baru gagal disiapkan mengikut jadual asal iaitu pada akhir tahun ini.
“Kemajuan fizikal yang ditetapkan sepatutnya 94.5 peratus tetapi setakat ini hanya 77 peratus siap iaitu lewat jadual daripada jadual sebanyak 17.5 peratus.
“Kelewatan projek ini disebabkan beberapa faktor antaranya mengenai isu tanah bagi pembinaan ban lencongan banjir. Isu kesesuaian tanah korekan bagi pembinaan ban berkaitan kestabilannya merupakan fokus utama dalam pembinaan projek ini.
“Selain itu, isu pembinaan dua jambatan JKR (Jabatan Kerja Raya) yang perlu diselesaikan bagi membolehkan air lencongan banjir dapat dialirkan dari hulu Sungai Baru ke hilir dan terus ke laut. Selain itu, kontraktor didapati kurang cekap mengawal kerja-kerja yang dilakukan sub kontraktor,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ir. Amiruddin Hamzah (Pas-Anak Bukit) mengenai kemajuan kerja sebenar RTB Lencongan Sungai Baru berbanding jadual ditetapkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Menjawab soalan mengenai pampasan kepada pesawah yang mengalami kerosakan tanaman akibat projek tersebut, Badrol Hisham memberitahu, seramai 72 orang mendapat ganti rugi pada 18 Jun lalu di pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Jumlah pesawah yang terlibat adalah seramai 72 orang yang melibatkan jumlah pampasan bernilai RM94,582. Pesawah ini menerima nilai pampasan bermula dari RM100 hingga RM2,776 mengikut kadar pembayaran yang telah dipersetujui oleh pihak insurans,” katanya.
Badrol Hisham berkata, pihaknya berusaha memastikan pembinaan RTB Lencongan Sungai Baru itu dijangka disiapkan selewat-lewatnya pada tahun depan bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban terutamanya pada musim tengkujuh.