Datuk Dr S. Ananthan Dilantik Ahli Dewan Negara

ALOR SETAR - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Kedah, Datuk Dr. S. Ananthan dipilih sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa hari ini.

Ananthan, 50, yang juga merupakan Pegawai Khas Masyarakat India kepada Menteri Besar dipilih sebagai Ahli Dewan Negara bagi menggantikan Datuk Shahanim Mohd. Yusof yang tamat tempoh pada 20 Mei lalu.


Sementara itu, bekas Ketua UMNO Jerai, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah dipilih semula sebagai Senator bagi penggal kedua.

Pemilihan mereka dicadangkan oleh kerajaan negeri dan dipersetujui dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Pelantikan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Mohd Rozai Shafian, selepas dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, sempena Persidangan DUN Kedah hari ini.

Cadangan itu disokong Pengerusi Jawatankuasa Agama, Kerja Raya, Pelancongan dan Warisan Negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Selain pelantikan Ananthan, khidmat Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, disambung untuk penggal kedua dengan perlantikan kedua-dua mereka untuk tempoh tiga tahun.

Ananthan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi MIC, berkata pelantikan terbabit adalah satu pengiktirafan kepada seluruh masyarakat India di negeri ini, sekali gus membolehkannya meneruskan khidmat kepada negara.

"Saya akan laksanakan tugas dengan penuh integriti dan berkhidmat dengan penuh iltizam bagi membawa suara akar umbi ke peringkat lebih tinggi," katanya.



SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post