Pembangunan Bandar Bebas Cukai (BBC) Bukit Kayu Hitam Mampu Tarik Pelabur Dan Pelancong - EXCO Kedah




Kerajaan negeri yakin pembangunan Ban­dar Bebas Cukai (BBC) Bukit Kayu Hitam mampu menarik kedatangan pelabur dan pelancong terutama dari Thailand sekali gus melonjakkan ekonomi negeri ini seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi serta Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT), Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, komponen BBC Bukit Kayu Hitam yang terdiri daripada tujuh presint meliputi industri automatif dan logistik, perumahan dan taman rekreasi.

“Saya selalu cakap ini (BCB Bukit Kayu Hitam) seperti Bandar Iskandar di Johor dalam versi Kedah. Bandar Iskandar begitu berjaya disebabkan titik ekonomi antara Johor dan Singapura. Ini mendorong limpahan ekonomi di Singapura dibawa ke Johor.

“Selama ini kita tidak begitu mengambil peluang ini kerana Kedah bersempadan dengan sebuah negara yang mungkin tak semaju Singapura tetapi penduduk Thailand ramai, jadi pe­luang ekonomi besar.

“Kedah perlu buat perancangan yang boleh meloncatkan tahap ekonomi negeri dan pembangunan BCB Bukit Kayu Hitam diyakini bukan sahaja boleh menarik pelabur luar malah menarik kedatangan pelancong terutama dari Thailand,” katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Menurutnya, pelan pembangunan BCB Bukit Kayu Hitam untuk tempoh 30 tahun itu dijangka mampu menyediakan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan apabila siap sepenuhnya kelak.

Terdahulu menjawab soalan Datuk Ahmad Zaini Japar (BN-Bukit Kayu Hitam) mengenai pembangunan projek mega di Bukit Kayu Hitam, beliau memberitahu, pelaksanaan pembangunan bandar bebas cukai di kawasan seluas 4,736 hektar itu kini sedang menunggu kelulusan dasar daripada Kementerian Kewangan.

“Pelan induk projek ini diluluskan dalam mesyuarat kerajaan negeri pada 2016. Kini kita mahu mendapatkan kelulusan dasar Kementerian Kewangan. Secara dasar kita mendapat maklum ba­las positif kementerian berkenaan.

“Projek BBC Bukit Kayu Hitam ini adalah sebahagian Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) termasuk projek Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP), pembinaan kilang tayar serta pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) baharu pula menjadi pelengkap kepada BBC Bukit Kayu Hitam.

“Pembangunan bandar bebas cukai dengan konsep pembangunan live, work and play (tinggal, bekerja dan rekreasi) adalah untuk menarik kedatangan ramai pelancong dari Thailand. Jika dibandingkan dengan kawasan sempadan lain, Bukit Kayu Hitam merupakan ‘bandar sempadan paling dinamik’,” katanya.



SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post