Kerajaan Kedah Bercadang Mempermudahkan Proses Pendaftaran Perkahwinan Rentas Sempadan - Mohd Rawi



Kerajaan Kedah bercadang mempermudahkan proses pendaftaran perkahwinan rentas sempadan menerusi denda minimum antara RM300 hingga RM400 kepada pasangan terbabit, berbanding RM3,000 sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, berkata ia bertujuan mengelak pasangan tidak mendaftarkan perkahwinan, sekali gus menyebabkan hak isteri dan anak terabai.

Beliau berkata, usaha itu sudah dirancang dengan beberapa pihak berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dan Mahkamah Syariah Kedah bagi melancarkan proses pendaftaran.


Katanya, rancangan itu turut juga merujuk usaha dianjurkan Selangor menerusi program Jom Daftar Nikah selama empat bulan bermula bulan ini.

"Kita akan memberi tumpuan kepada suami isteri yang sudah mempunyai anak. Kita mahu memastikan isteri memperoleh sijil nikah sah dan anak mendapat kad pengenalan kerana ketiadaan dua dokumen terbabit akan menyukarkan pelbagai urusan.

"Pelaksanaan proses pendaftaran perkahwinan rentas sempadan dijangka dilaksanakan seawal bulan depan selepas beberapa rancangan dan prosedur diperkemaskan supaya matlamat kita tercapai.

"Perbincangan sudah dilakukan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob yang membolehkan lagi proses dipermudahkan," katanya di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Md Zuki Yusof (PAS-Kuala Ketil) yang mahu mengetahui langkah kerajaan negeri membantu keluarga yang tidak mendaftar perkahwinan sehingga menjejaskan hak isteri dan anak.

Mohd Rawi berkata, pihaknya sudah menyiapkan risalah mengenai perkara itu untuk meminta mereka yang gagal mendaftar supaya tampil bagi menyelesaikan status pernikahan mereka dengan cara mudah.

Katanya, risalah terbabit menerangkan secara ringkas langkah yang perlu dilakukan serta menjelaskan masalah yang boleh berlaku ke atas masa depan keluarga dan pendidikan anak sekiranya gagal mendaftar.

"Kita dapati masalah boleh timbul apabila perkahwinan tidak didaftar kerana wanita tidak memiliki hak sebagai isteri sah, termasuk untuk membuat tuntutan selepas perceraian atau kematian.

"Anak pula menghadapi masalah dari sudut pendidikan, nafkah, isu kesihatan dan kewarganegaraan.

"Ini bukan menggalakkan orang ramai berkahwin di sempadan tetapi kita mahu pastikan mereka yang sudah lama berkahwin tetapi gagal mendaftar, dapat berbuat demikian bagi memudahkan masa depan keluarga masing-masing," katanya.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post