Masih Terlalu Awal Untuk Hebahkan Senarai Calon PRU14 - Mubarak Kedah


ALOR SETAR - Pemilihan calon bukan mudah seperti disangka, di mana penilaian dan kajian dilakukan terlebih dahulu dalam tempoh setahun sebelum jangkaan tarikh pilihan raya umum.

Yang Di Pertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kedah, Datuk Abdul Rahman Ibrahim berkata, masih terlalu awal untuk parti menghebahkan senarai akhir calon bertanding PRU14 seperti yang ditularkan, kelmarin.

“Saya tidak pasti sama ada senarai yang tular itu sahih atau ciptaan pihak tertentu. Namun terlalu awal untuk parti muktamadkan senarai calon, kerana PRU14 belum pasti bila diadakan. Bukan semudah itu untuk lakukan tapisan calon, banyak kriteria diteliti dan kajian dilakukan pelbagai pihak,” katanya.

Menurutnya, pelbagai agensi terlibat dalam kajian terbabit, antaranya Pejabat Menteri Besar, jabatan politik agensi kerajaan, jabatan penerangan serta pihak keselamatan.

“Kebiasaan tiga nama di senarai pendek bagi setiap kerusi ditandingi. Calon lama atau muka baharu bukan isu penting, keutamaan adalah calon itu boleh menang dan disukai ramai, namun tidak menolak kemungkinan 30-40 peratus diperuntukkan kepada muka baharu,” katanya.

Abdul Rahman berkata, calon yang disenaraikan juga perlu menepati kehendak pengundi setempat serta keperluan parti bagi membolehkan kemenangan berpihak kepada BN.

“Kriteria paling penting adalah mampukah calon itu beri kemenangan di kerusi itu, tanpa mengambil kira beliau sudah lama bergelar wakil rakyat atau muka baharu. Kajian ini penting untuk parti memilih calon paling sesuai,” katanya.

Menurutnya, tokoh tempatan di sesuatu kawasan akan dikenal pasti lebih awal dan dipantau untuk melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap individu itu sekiranya dicalonkan.

“Individu yang menjadi bualan ramai dan disenangi semua pihak itulah yang berpotensi menang, calon-calon itu kita kenal pasti dan lakukan kajian untuk melihat kemampuan beliau, sebelum tapisan calon dilakukan setelah nama itu di senarai pendek,” katanya.

Abdul Rahman berkata, calon itu juga perlu setanding dengan calon pihak lawan agar membawa aura positif ketika bertanding.

“Sebelum diputuskan di peringkat akhir, parti bertindak sebagai kata pemutus. Jawatankuasa Umno Bahagian akan kemuka tiga nama bagi setiap kerusi, untuk dinilai oleh Pengerusi Umno Kedah. Penilaian menyeluruh dibuat terhadap senarai nama itu di mana hasil kajian pelbagai pihak turut diambil kira, bukan semudah memetik nama sesiapa sahaja,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin setelah 13 kali berlangsungnya pilihan raya umum, ahli Umno semakin matang memupuk kerjasama agar wakil rakyat yang dipilih menepati cita rasa kerana ia adalah suatu tanggung jawab besar.

“Diharap tiada lagi unsur cah keting atau cantas mencantas, termasuk budaya tikam belakang kawan sekiranya tidak terpilih sebagai calon PRU14. Ahli harus bertolak ansur kerana hanya seorang akan dipilih, mainkan peranan bantu parti agar calon dipilih boleh menang,” katanya.

Abdul Rahman berkata, sekiranya calon diketengahkan adalah muka baharu, yang lama hendaklah berlapang dada membantu jentera parti kerana kemenangan adalah untuk parti, bukan individu.

“Saya yakin jika unsur negatif dibuang, BN mampu kekalkan kuasa di Kedah,” katanya.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post