Pembangkang Kehabisan Isu Tentang Pembangunan Langkawi


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini menyelar tanggapan sesetengah pihak yang menuduh kerajaan negeri hendak menjual Langkawi melalui penggalakan pelaburan luar.

Katanya usaha kerajaan negeri Kedah menggalakkan kemasukan pelaburan luar ke Langkawi adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyatnya dan tidak sepatutnya dilihat untuk menggadai pulau pelancongan ini.

"Apabila mereka melabur sejumlah wang yang besar, sudah tentunya mereka memerlukan jaminan dan jaminan itu (salah satunya) adalah dari segi pajakan... bukannya kita terus jual dan kemudiannya kita cuci tangan begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Universiti Utara Malaysia, Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) dan Adya Hotel Langkawi.

Menurutnya Kedah secara keseluruhannya memerlukan bantuan pelaburan dari luar untuk melonjakkan ekonominya dan Langkawi sebagai peneraju destinasi pelancongan negeri ini memiliki banyak ruang lagi untuk pembangunan ekonomi.

Ahmad Bashah berkata hanya sebahagian kecil sahaja daripada kumpulan 99 buah pulau yang membentuk Langkawi ini yang telah dibangunkan dan ini seharusnya dimanfaatkan untuk pembangunan.

Katanya Langkawi telah dibahagikan zon-zon tertentu bagi menetapkan bentuk pembangunan yang sesuai dilaksanakan dan kesannya dapat dirasai oleh rakyat tempatan.

"Keutamaannya, rakyat di Langkawi mesti dapat pembangunan yang kita bawa," katanya.

Menurutnya, pelabur-pelabur khususnya dari China dan Korea Selatan telah menunjukkan minat mereka untuk membuat pelaburan bagi memulakan beberapa industri di Kedah.

"Bila industri ini wujud, pelbagai peluang pekerjaan dan peluang-peluang lain dapat diadakan," katanya.- Bernama

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post