Perutusan Tahun Baru 2017 MB Kedah, YAB Datuk Seri Diraja Ahmad Bashah Md Hanipah



Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia dan Salam Muafakat Kedah

Saudara Pengacara Majlis,

Yang Berhormat Dato Paduka Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah

Yang Berhormat Dato Paduka Bakar bin Haji Din, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah,

Saf pimpinan tertinggi serta seluruh kakitangan kerajaan Negeri

Rakan-rakan keluarga besar dari jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan,

Pimpinan Belia, Mahasiswa dan NGO

Pemimpin akar umbi dan masyarakat setempat,

Dif-Dif jemputan,

Petugas media, Tuan-Tuan, Puan-Puan yang saya hormati sekelian,

1. Alhamdulilah, bersyukur kita kehadrat Allah Azza Wa Ja la, kerana dengan izin dan kurnianya, kita terus diberikan ruang untuk bersama dalam sebuah keluarga besar di pagi ini.

2. Majlis pada pagi ini bertujuan untuk menilai kembali pencapaian 2016. Selain meneruskan misi bagi mengukuhkan tekad dan usaha untuk tahun 2017. Supaya, MUAFAKAT DIJULANG, KHIDMAT BAKTI DITATANG.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

3. Sebelum perutusan ini dilanjutkan, marilah kita membacakan Ummul Kitab, Al-Fatihah dan merakamkan ucapan takziah di atas pemergian rakan sejawatan saya, Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Dato’ Patinggi Tan Sri Haji Adenan bin Satem yang telah kembali ke rahmatullah tanggal 11 Januari yang lalu. Rakyat Sarawak khasnya dan Malaysia amnya kehilangan seorang tokoh yang cukup berjasa. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Al-FATIHAH…

TUAN-TUAN, PUAN-PUAN YANG SAYA HORMATI SEKELIAN,

4. Pada penghujung 2016, dua peristiwa unik lagi bersejarah telah mengambil tempat di bumi Kedah. Pertama, keberangkatan pulang Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, pada 12 Disember 2016 untuk kembali bersemayam di Istana Anak Bukit.

5. Keberangkatan pulang yang membolehkan baginda Tuanku kembali memayungi mahkota negeri, setelah tamat tempoh selaku Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk kali ke-2. Tidak kurang pentingnya, pemasyuran Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Sallehudin ibni Almarhum Sultan Badlishah selaku Raja Muda Kedah tanggal 15 Disember 2016.

6. Kesemua peristiwa ini disempurnakan dengan penuh adat istiadat. Selain, menampakkan kemurniaan tamadun negeri yang bersulam kekuatan sebuah legasi.

SIDANG HADIRIN SEKELIAN,

7. Tiga hari yang lalu, Sambutan Ulangtahun ke-89 Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah telah berjaya diraikan dengan penuh gilang gemilang. Inilah uniknya Kedah Darul Aman, negeri berdaulat penuh berkat. Justeru, dikesempatan ini, tahniah saya ucapkan kepada semua penerima darjah dan bintang kebesaran. Satu lambang pengiktirafan ke atas khidmat serta sumbangan yang dicurahkan selama ini.



PARA HADIRIN SEKELIAN,

8. Sempena permulaan tahun baru 2017 juga, kita turut merasa bangga kerana Kedah menjadi antara negeri terawal dilawati oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam lawatan kerjanya pada 16 dan 17 Januari. Sekaligus membolehkan komuniti PRIMA dan masyarakat di Kedah dapat diraikan menerusi majlis yang diadakan. Selain, KUIN turut diumumkan mendapat status universiti penuh. Satu bukti kerajaan persekutuan dan negeri senantiasa merangka kerjasama harmoni ke arah pembangunan yang berterusan.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

9. Sepanjang Tahun 2016 juga, kita telah berhadapan dengan lima cabaran besar yang menjadi bualan masyarakat. Disulami persepsi negatif dan diviralkan secara tidak seimbang di media sosial.

10. Isu-isu dimaksudkan meliputi kenaikan kos sara hidup, kejatuhan nilai ringgit, penurunan harga komoditi getah dan kelapa sawit. Rasionalisasi subsidi, selain kesuraman ekonomi nasional.

11. Sehinggakan ramai yang menjadi pakar tidak bertauliah dengan meramalkan ‘ekonomi negara akan bankrap’. Ada pula yang berkata Malaysia adalah sebuah negara yang gagal atau ‘The fail state’.

12. Namun demikian, disebalik tohmahan palsu yang dilontarkan, kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohd Najib telah berupaya membentangkan Bajet 2017. Dengan tumpuan kepada Rakyat Centric dan keperluan sebenar masyarakat.

TUAN-TUAN, PUAN-PUAN YANG SAYA HORMATI SEKELIAN,

13. Dalam konteks Kedah pula, pada 13 November 2016, kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional telah membentangkan Bajet yang berjumlah RM1.06 bilion bagi tujuan pembangunan dan belanja pengurusan.

14. Alhamdulilah, dengan muafakat semua ADUN tanpa mengira fahaman politik, bajet berkenaan diluluskan dan kini sedang dilaksanakan. Tujuh sektor menjadi tumpuan melibatkan, infrastruktur, pentadbiran, pendidikan, sosial, pelancongan, pertanian dan ternakan.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

15. Untuk rekod juga, pada 22 Mei 2016, setelah hampir tiga bulan diberi amanah mengemudi Kedah, saya dengan dibantu idea rakan-rakan dalam pentadbiran telah memetakan kembali struktur pembangunan dan pentadbiran negeri Kedah.

16. Alhamdulilah, Amanat 100 hari yang menekankan pendekatan mudah dilaksana dan kesan cepat dirasa telah berjaya diupayakan dengan sebaik mungkin.

17. Namun begitu, masih banyak ruang yang boleh dibaiki, menerusi program yang lebih terangkum dan dapat dirasai semua kelompok masyarakat. Tanpa mengira latarbelakang kaum, agama, ideologi ataupun status sosial.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

18. Hakikatnya dasar-dasar kerajaan yang digerakkan adalah hasil muafakat dari semua. Matlamat kita menjana dasar bersifat inklusif bukan elitis. Penekanan program pula berpaksikan ‘tidak ada yang terpinggir dan tidak ada pula yang tertinggal’.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

19. Bagi tahun 2017, prospek diperingkat makro negara menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Harga getah kembali pulih dan turut memberi kesan kepada 40,000 penoreh dan pekebun kecil getah di negeri ini.

20. Peningkatan harga minyak mentah yang kian ketara dan juga urusniaga minyak sawit yang makin menguntungkan negara membolehkan lebih banyak tambahan pendapatan dinikmati. Ramalan pertumbuhan ekonomi global sepertimana yang dikeluarkan oleh Bank Dunia menjangkakan ekonomi dunia akan tumbuh pada kadar 2.7% berbanding tahun lalu 2.3% sejak krisis kewangan melanda pada tahun 2008.

21. Selain itu petunjuk dari Bank Negara dan Bank Komersial serantau menjangkakan ekonomi negara tahun ini berkembang pesat pada kadar 4.2 hingga 4.5%.

22. Dari perspektif ekonomi setempat, menerusi BRIM sebagai contoh yang memanfaatkan 7.45 juta penerima dengan penduduk di negeri ini turut mendapat tempiasnya, maka ekonomi setempat akan lebih rancak dengan peningkatan kuasa beli.

23. Keyakinan pelabur luar turut bertambah kukuh dan kita yakin dalam pertengahan suku pertama dan kedua 2017 nilai ringgit berbanding tukaran asing pasti kembali pulih. Disebabkan fundamental ekonomi negara kian menunjukkan peningkatan dan langkah pembetulan.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

24. Selaras dengan perkembangan berkenaan, fokus di Kedah ditumpukan kepada beberapa gerakerja utama. Dengan mengambilkira aspirasi masyarakat di negeri ini.

25. Pertama, gerakerja berkebajikan menerusi SKIM BARAKAH diperhebatkan. Pada tahun ini sasaran 50,000 penerima melalui komponen Barakah Insan, Kemasyarakatan, Pendidikan, Usahaniaga dan Anak Muda.

26. Untuk peringkat permulaan, 23,000 penerima telah dikenalpasti bagi diberi bantuan one-off kotak makanan mulai bulan ini. Agihan disalurkan menerusi ADUN dan Penyelaras DUN di kawasan masing-masing. Biaya diperuntukkan berjumlah RM2 juta.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

27. Meskipun ada pandangan sinis yang menuduh bahawa pendekatan ini sekadar bersifat sementara dan bukan mekanisme terbaik untuk membebaskan masyarakat dari belenggu kemiskinan, namun SKIM BARAKAH adalah usaha gigih kerajaan bertujuan membantu masyarakat mendepani kenaikan kos sara hidup.

28. Uniknya skim BARAKAH kali ini turut disulami sikap kesukarelaan. Konsep bantuan tidak dirigidkan melalui bantuan one off semata-mata. Namun melalui penglibatan NGO dan pertubuhan berkaitan, yakni SUKA Kedah atau Sukarelawan Barakah Kedah yang ditubuhkan di setiap kawasan Parlimen.

29. SUKA Kedah melibatkan tenaga muda dalam membantu kegiatan kemasyarakatan, kerja gotong royong, kemanusiaan dan juga program setempat.

TUAN-TUAN, PUAN-PUAN YANG DIHORMATI SEKELIAN,

30. Kita yakin dan percaya, pemerkasaan aspek kebajikan dapat memberi sedikit kelegaan kepada golongan sederhana dan berpendapatan rendah. Lantas, di antara usaha pro-aktif yang dilaksanakan penghujung Disember lalu ialah program GENIUS 2017 atau (Gerak Nikmat Insan ke Sekolah). Kesannya, 10,000 pelajar yang memasuki alam persekolahan dibantu kelengkapan persekolahan mereka.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

31. Dari maklumbalas yang diterima di kalangan ibu bapa, dan guru, skim sebegini sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kewangan di awal tahun. Prinsipnya, agenda pendidikan menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk dilaksanakan bagi tahun 2017 dan masa mendatang.

32. Komitmen ini didorong oleh dua faktor. Pertama, apabila saya melakukan lawatan Ke Sekolah Rendah Kebangsaan Mergong dan juga Tabika KEMAS, Taman Mergong Jaya, 1 Januari yang lalu, saya melihat, anak-anak inilah aset masa depan bagi negeri.

33. Bayangkan, dari sejumlah 2.046 juta rakyat, hampir ¼ berada di alam persekolahan. Pelajar yang memasuki tahun 1 pula seramai 32,000 orang. Mereka ini perlu disediakan dengan masa depan serta sistem sokongan yang jelas. Maka pakej bantuan yang diberikan berfalsafah untuk mendorong minat anak-anak bangsa dengan kecintaan terhadap budaya ilmu.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

34. Dalam konteks ini, selaku pelengkap ke arah kecemerlangan prestasi akademik, maka Tusiyen Barakah Kedah dilanjutkan untuk tahun ini. Operasinya bermula penghujung Febuari 2017. Menerusi skim ini, seramai 1000 pelajar diberi fokus bagi yang menduduki peperiksaaan UPSR, PT3, SPM, STPM dan STAM.

35. Skim ini adalah sokongan tambahan kepada kelas tuisyen untuk murid dari keluarga berpendapatan rendah sepertimana yang dikendalikan oleh Yayasan Sultanah Bahiyah, PIBG, orang perseorangan atau KKLBW menerusi MARA.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

36. Lanjutan dari langkah tersebut, ke arah memastikan Kedah dapat melonjak pencapaian pelajar memperoleh gred A untuk semua matapelajaran dalam peperiksaan awam utama negara, maka sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat, Bina Darul Aman Berhad dan PKNK diamanahkan mengadakan program KASIH 2017 atau (Kem Kecemerlangan SMART Insan UPSR Kedah).

37. Melibatkan seramai 1,500 pelajar tahun 6 di tiga buah zon yakni Utara, Tengah dan Selatan. KASIH 2017 bertujuan mendedahkan pelajar memahami teknik menjawab soalan dan format baru UPSR secara jelas. Supaya, peratusan pencapaian negeri untuk tahun ini dapat ditingkatkan ke tahap terbaik. Ini merupakan langkah pengisian ke arah meletakkan Kedah menjadi antara negeri di kelompok lima teratas dalam peperiksaan awam utama negara.



PARA HADIRIN SEKELIAN,

38. Apabila tersiar berita mengenai stateless boy, Tan Yao Chun yang tidak dapat bersekolah kesan masalah sijil lahirnya maka saya mengambl ketetapan berasaskan prinsip umum, sepertimana diperuntukkan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan UNESCO yang menekankan ‘hak pendidikan untuk semua’.

39. Menerusi pegawai saya yang diarahkan berkunjung ke kediaman nenek budak berkenaan di Changloon pada 4 Januari 2017, urusan persekolahannya didaftarkan dengan kerjasama PPD dan pihak sekolah sementara menunggu sijil sijil lahirnya diproses oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

40. Alhamdulilah pada 8 Januari 2017, Yao Chun sudah dapat bersekolah demi membolehkannya mengenal huruf. Hakikatnya kes-kes sebegini bukanlah isu terpinggir. Dari maklumbalas yang diterima banyak lagi kes seumpamanya berlaku.

41. Dari sudut perundangan, Pekeliling Kementerian Pendidikan Malayasia tahun 2009 sudah jelas berhubung isu ini. Namun lebih penting respon dan tindakan pro aktif pemimpin setempat baik JKKK, JPP, atau Penghulu untuk menyalurkan info berkaitan agar ianya dapat diselsaikan dengan kadar segera.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

42. Dalam satu aspek yang lain, harus diakui persepsi masyarakat berhubung kualiti khidmat awam dan jentera pentadbiran sudah banyak berubah berbanding 20 tahun yang lalu. Kepantasan teknologi maklumat, meluasnya rangkaian media sosial, membolehkan sebarang kelemahan kita cepat diviralkan.

43. Ini perlu diterima sebagai cabaran bukannya ancaman. Dalam era kini, ukuran pencapaian bertunjangkan prestasi. Inovasi dalam perkhidmatan turut diperlukan untuk mendepani cabaran semasa.

44. Meritokrasi harus dijulang. Justeru laksanakanlah amanah dengan cara yang betul mengikut kaedah yang luhur. Integriti perlu dipertahan bagi mengukuh kredibiliti. Selain itu, jauhilah amalan rasuah, korupsi dan gaya hidup mewah sepertimana saranan Ketua Pesuruhjaya SPRM baru-baru ini.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

45. Secara tegas saya mahu menyatakan, imej pentadbiran negeri dan persekutuan yang ada di Kedah bukan sahaja perlu dilihat bersih, sifar rasuah, cekap lagi efisien malah mestilah menjauhi sebarang tindakan yang bercanggah dengan undang-undang.

46. Saya juga ingin menekankan agar konsep pengurusan kasual dilaksanakan. Tujuannya bagi mengecilkan jurang antara barisan pimpinan, pegawai tingi dan rakyat biasa apabila sesuatu majlis keraian atau sambutan diadakan.

47. Selain itu, sebagai langkah pengukuhan integriti, larangan dikenakan bagi semua pegawai tinggi jabatan dan agensi negeri bermain golf di luar negara ataupun pakej bermain golf bersama kontraktor, pembekal atau orang berkepentingan semasa waktu pejabat.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

48. Dalam dekad kini juga, sistem penyampaian perlu pro-aktif bukan lagi statik. Fungsi jentera pentadbiran tidak seharusnya terhad selaku desk officer semata-mata. Khidmat perlu memenuhi piagam pelanggan sepertimana yang dimaktubkan. Jangkauan perkhidmatan haruslah meluas.

49. Dalam konteks inilah, semua jabatan serta agensi negeri diarahkan untuk menilai kembali SOP dalam menyediakan sistem penyampaian kepada pengguna. SOP jabatan dan agensi yang tidak sesuai dan menyusahkan pengguna perlu disemak semula dan dilakukan penambahbaikan dengan diberi masa sebulan dari tarikh hari ini.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

50. Bagi agensi yang terlibat dengan perkhidmatan kaunter, saya harus memperakui Jabatan persekutuan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, JPJ sudah diakui kemampuannya. Urusan memperbaharui pasport antarabangsa sebagai contoh hanya mengambil masa kurang 40 minit dengan layanan penuh mesra dari kakitangan Jabatan Imigresen.

51. Pusat khidmat setempat seperti UTC yang berada di Alor Setar dan Sungai Petani banyak memberi kemudahan kepada masyarakat. Ini diakui sendiri oleh rakan saya ADUN Pantai Merdeka, Yang Berhormat Dato Ali Yahya yang sering mengemaskini posting beliau dalam laman mukabukunya.

52. Demikian juga khidmat Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi urusan daftar perniagaan, dan juga beberapa buah agensi yang lain sebagai contoh.

53. Di peringkat agensi dan jabatan negeri, saya harus turut merakamkan ucapan tahniah kepada khidmat kaunter seperti MBAS untuk bayaran cukai taksiran. Inovasi tambahan menerusi pengenalan kaunter kutipan hasil bergerak juga mengukuhkan lagi peranan MBAS.

54. Ini melengkapi kualiti khidmat sepertimana unit kutipan Hasil Bahagian perumahan yang sudah lama memperkenalkan kaedah ini. Jika usaha sebegini berterusan dan dluaskan oleh semua jabatan, saya optimis sasaran kutipan hasil pada kadar 90 hingga 95 % untuk tahun ini akan mencapai sasaranya.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

55. Saya turut menerima maklumbalas berhubung sistem yang cukup kemas diamalkan di sebahagian besar Pejabat Daerah dan Tanah di negeri Kedah. Inovasi mapan serta dinamiknya urusan. Justeru kepantasan khidmat sebegini wajar diterapkan di kesemua agensi yang lain.

56. Bagi memperluas serta mengukuhkan lagi sistem penyampaian serta ruang kerjasama, pertukaran idea dan kepakaran, strategi lautan biru perlu dilakar antara jabatan negeri dan persekutuan yang ada di Negeri Kedah. Usaha secara terancang ini mampu memacu negeri lebih terkehadapan dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

57. Sepanjang Julai hingga Oktober 2016 yang lalu juga, Jelajah Muafakat Mahasiswa Anak Kedah telah mendekati 13 buah persatuan mahasiswa anak Negeri di seluruh negara. Insentif pengurusan RM3 ribu disalurkan kepada setiap persatuan. Selain dialog bersama pimpinan negeri diadakan.

58. Dua isu utama diketengahkan oleh anak-anak muda terpelajar dari negeri ini. Pertamanya, isu pembiayaan pendidikan, dan keduanya peluang pekerjaan di negeri kelahiran sendiri.

59. Dalam hal ini sukalah saya mengumumkan, menerusi konsep Kedah First. Ini bermakna kesemua State Link Company (SLC) dimestikan mengutamakan mahasiswa cemerlang anak negeri bagi pengambilan staf baru untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

60. Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia diminta untuk menganjurkan Job Fair pada masa yang sesuai. Ini bagi membolehkan kesemua pemain industri, perusahaan atau institusi perkhidmatan yang ada di negeri ini dapat dipertemukan secara langsung dengan pencari kerja anak tempatan menerusi konsep walk in interview. INSPIN dan UPUK pula harus mencari ikhtiar menganjurkan kursus bimbingan perniagaan dalam talian kepada anak muda dan belia yang berminat.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

61. Berhubung pembiayaan pendidikan, dasar melibatkan Lembaga Biasiswa Negeri Kedah dipinda untuk membolehkan pelajar yang mendapat kepujian kelas pertama dikecualikan dari membayar pinjaman sebaliknya diubah menjadi biasiswa penuh.

62. Dana bagi Tabung Lembaga Biasiswa Negeri Kedah turut ditambah menerusi kerjasama strategik dengan phak swasta, organisasi perniagaan dan anak syarikat kerajaan negeri. Bertujuan membolehkan lebih ramai pelajar anak Kedah tanpa mengira kaum mendapat pembiayaan untuk melanjutkan pengajian tinggi. Di peringkat pejabat saya sendiri, insentif khas bersifat one-off disediakan sebagai menghargai pelajar cemerlang di peringkat Ijazah Pertama.

63. Demikian juga pembiayaan pinjaman pendidikan bagi pelajar Kedah di Timur Tengah melibatkan intitusi pengajian tinggi di Jordan dan Mesir. Komitmen kerajaan Negeri menerusi Yayasan Islam diteruskan dengan menaikkan elaun sara hidup kepada pelajar tajaan. Selaras dengan tukaran nilai matawang semasa bagi mengurangkan bebanan pelajar.

64. Sumbangan tahunan untuk aktiviti persatuan pelajar turut dikekalkan bagi tahun 2017.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

65. Gen-Y mewakili hampir 40% dari penduduk negeri Kedah. Sepanjang 2016, pelbagai insentif dan proram dilakar. Antaranya skim IMAN, Program Mahasiswa Balik Kampung, Futsal Piala MB, SUKDA, Walimatul Urus Perdana, Kursus Perkahwinan Percuma, Insentif untuk Persatuan Belia dan program RAMAH.

66. Bagi tahun 2017, kesemua program ini sepertimana yang dibentangkan dalam Bajet Negeri diteruskan dengan ditambah baik aspek pelaksanaanya.

67. Untuk tahun 2017 juga, usaha lebih meluas digerakkan. Selaras dengan agenda nasional TN50. Bermula Febuari, program Muhibbah diperkenalkan. Muhibbah adalah singkatan Mesra Muafakat Belia Daerah, dimana sesi town hall diadakan, bagi menyelami hasrat anak muda. Insentif pengurusan berjumlah RM3 ribu turut disalurkan kepada persatuan belia di setiap daerah.

68. Menerusi pendekatan sebegini juga, Makmal Belia turut diwujudkan. Bertujuan mengumpul semua idea bernas yang praktikal untuk dilaksanakan.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

69. Dalam pada itu, tumpuan terhadap pengajian agama tidak pernah dipinggirkan. Menjadi hasrat kerajaan Negeri membangunkan Kedah selaku Hab Maahad Tahfiz dan pondok Pengajian Agama di Malaysia. Selain usaha membentuk generasi khaira ummah.

70. Sehubungan itu, geran tahunan kepada 11 buah pondok agama disalurkan pada April nanti. Selain insentif pembelian kitab sejumlah RM20 ribu bagi setiap pondok.

71. Ke arah memperkasakan lagi pengajian agama, pengembangan syiar serta syariat Islam, sejumlah RM16.6 juta disediakan bagi menaik taraf Maktab Mahmud, Maahad Tahfiz Sains DARUL AMAN di Kulim, sekolah agama, masjid dan surau di seluruh negeri.

72. Tidak ketinggalan penyaluran peruntukkan kepada semua pelajar asrama Sekolah Agama Rakyat bertujuan mengurangkan bebanan ibu bapa.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

73. Inilah di antara lain, komitmen dan keprihatinan kerajaan dalam memberi keadilan kepada semua. Kerajaan yang sedia ada, istiqamah dalam menumpukan usaha kebajikan, dan merungkai keperluan rakyat. Hakikatnya tindakan kerajaan berfalsafahkan Tradisi Membela Rakyat.

74. Hal ini amat bertepatan dengan suruhan agama. Sepertimana yang difirmankan oleh Allah Subha Na Hu Wa’ Ta’ A’la. Dalam Surah An-Nahl, Ayat 90: mafthumnya:

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat. Dan melarang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu dengan suruhan dan larangannya ini, supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya”.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

75. Pada tahun 2017 juga, saya dan rakan-rakan pimpinan merancang mewujudkan lebih banyak ruang bagi meluaskan lagi aktiviti ekonomi selain peluang bagi penjaja dan pengusaha kecil. Di antaranya, mewujudkan Bazar Unik yang mencerminkan aspek tempatan serta dapat menjadi tarikan masyarakat sekitar dan negeri jiran.

76. Bazar unik sepertimana Pasar Karat di Kampung Berjaya setiap Jumaat perlu diadakan. Tujuannya supaya Bandaraya Alor Setar dan bandar yang lain lebih dikenali dengan identiti tersendiri. Sebagai contoh di Melaka terdapat Jonker Walk. Di Kuala Lumpur teguh berdiri Petaling Street,dengan hiruk pikuk dan kesibukan aktiviti jualannya. Manakala di Pulau Pinang Rope Walk menjadi tumpuan ramai.

77. Selaras dengan hasrat ini, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) diminta mengenalpasti tapak sesuai bagi mewujudkan konsep Bazar yang dimaksudkan.

78. Jika model ini berjaya, ianya perlu diperluaskan ke lain-lain daerah supaya ibu tunggal, golongan mahasiswa muda pengusaha IKS, dan pengeluar produk tempatan dapat menjana ekonomi setempat selain membuka ruang kerjaya baru.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

79. Saya turut menerima pelbagai maklumbalas berhubung kurangnya ‘acara’ yang boleh dikunjungi masyarakat di Kedah tatkala musim cuti persekolahan yang panjang. Sepanjang ingatan saya, di awal tahun 80-an dan 90-an, Kedah cukup terkenal dengan Pesta Kedah atau ‘funfair’ yang diadakan setiap kali cuti persekolahan dan apabila selesai musim menuai padi.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

80. Pada 1 Januari 2017 lalu, apabila saya melawat Karnival MBAS yang diadakan diperkarangan Stadium Darul Aman, lantas saya memikirkan betapa masyarakat di negeri ini tidak mempunyai banyak pilihan atau tempat yang boleh mereka kunjungi terutama di musim cuti.

81. Jika Pesta Pulau Pinang dapat menarik penduduk Kedah dari Kodiang hingga ke Kulim, maka sudah sampai masanya nostalgia Funfair atau Pesta Kedah dikembalikan.

82. Maka dengan itu, sepanjang November sehingga awal Disember, sebagai tarikan pengunjung dan usaha mencambahkan kegiatan perdagangan setempat, Pesta Kedah dengan jenama baru Kedah FEST 2017 dihidupkan semula. Tapak dikenalpasti ialah di Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti.

83. Kita mengharapkan agensi berkaitan dan urusetia kerajaan Negeri dapat mempromosikan Kedah Fest dengan pakej hiburan ringan, jualan, dan aktiviti santai bersifat kekeluargaan untuk semua. Aspek persembahan hiburan pula biarlah yang terkawal selain disulam dengan program lain bersifat kerohanian.

84. Kita mensasarkan Kedah Fest yang berlangsung selama sebulan atau lebih dapat menarik pengunjung termasuk dari Perlis, Seberang Perai Pulau Pinang serta Utara Perak.

HADIRIN-HADIRAT SEKELIAN,

85. Tanggal 9 Januari yang lalu, seluruh dunia seakan terpegun. Anak kelahiran Kampung Tok Kepak, Air Hitam, telah menggegar pentas bola sepak antarabangsa. Kini namanya tertinta indah sebaris bersama Lionel Messi, Christiono Ronaldo dan Neymar.

86. Mohd Faiz Subri, dengan tendangan freekicknya yang menyanggahi hukum fizik telah dinobatkan selaku pemenang THE FIFA PUSKAS AWARD 2016.

87. Pencapaian yang menjadi kebanggaan kepada Kedah selaku negeri kelahirannya. Atas dasar itu kerajaan Negeri bersetuju melantik beliau selaku Duta Muafakat Belia Kedah. Selain ganjaran sampingan berjumlah RM20 ribu yang diberikan oleh KFA.

88. Bagi menghargai sumbangan beliau mengharumkan nama Negara dan negeri, anugerah Bintang Semangat Jerai turut dianugerahkan oleh KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU SULTAN.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

89. Jika diamati sejarah lalu, begitu banyak kehebatan yang dilakar oleh anak negeri Kedah.Lantaran itulah, saya amat yakin sejarah kegemilangan sebegini boleh digarap. Dengan syarat adanya kesungguhan, disiplin dan kerja keras.

90. Hakikatnya, Kedah antara negeri yang berjaya dalam soal gilapan modal insan di pelbagai bidang. Susulan dari usaha ini, maka Akademi Dato Ahmad Basri atau ADAB ditubuhkan tanggal 11 Oktober 2016. Untuk makluman, Kedah adalah negeri pertama menjalin kerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

91. Hasrat kita bertujuan melatih bakat yang ada di negeri ini. Selain mempromosikan sukan sebagai satu industri dan laluan kerjaya. Usaha sebegini mampu mengurangkan gejala sosial seperti penagihan ketum dan dadah yang cukup ketara di Kedah.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

92. Apabila kerajaan ini berjanji maka kita kotakan. Alhamdulilah, bermula Oktober 2016, sehingga penghujung bulan ini sesi pemilihan pemain untuk ADAB giat dijalankan. Seramai 4,500 bakat anak muda berusia 7 hingga 17 tahun mencuba nasib untuk mengisi 1,200 tempat yang ditawarkan di 9 buah pusat latihan. Ini membuka satu lembaran baru dalam program pembangunan bola sepak bukan sahaja di negeri Kedah malah di Malaysia amnya.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

93. Pada 4 Januari 2017 lalu, apabila mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO dengan daerah Sik dipilih sebagai venue pertama bagi tahun baru, saya dapati banyak kebaikan yang boleh dibawa bersama.

94. Pelbagai pakej program, bentuk bantuan, isu dihadapi rakyat dapat kita selesaikan. Isu hakmilik tanah rakyat dapat dibereskan setelah tertangguh hampir 14 tahun. Ini dibuktikan melalui penyerahan geran hakmilik 351 penerima dari Pulau Belantik dan Bandar Baru Beris Jaya.

95. Tahniah kepada semua pihak terutamanya Pejabat Daerah dan Tanah Sik serta PTG Negeri yang memastikan usaha disempurnakan dengan jayanya.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

96. Mengambil sempena model ini, maka saya memutuskan PEMUKIMAN MUAFAKAT DAERAH atau PEMUDAH 2017 diadakan. Urusetia program ini dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dato Mohd Tajuddin Abdullah dengan Sekteriat Pelaksana dianggotai oleh kesemua 12 orang Pegawai Daerah beserta pegawai dari agensi berkaitan sama ada negeri dan persekutuan.

97. Pakej program melibatkan seluruh barisan EXCO beserta jabatan negeri dan persekutuan untuk turun ke akar umbi mengadakan pelbagai program melibatkan portfolio masing-masing. Menerusi PEMUDAH 2017 diharap mampu menyelesaikan segera isu-isu berbangkit melibatkan kepentingan rakyat.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

98. Komitmen seluruh jentera kerajaan yang ada termasuk barisan pimpinan memberi khidmat dan bakti tidak perlu dipersoalkan. Meskipun ada tuduhan liar menyatakan banyak projek kerajaan tergendala kesan kekurangan peruntukkan.

99. Namun sukalah saya memberi jaminan bahawa segala projek yang sudah dirancang sama ada melibatkan kerjasama persekutuan atau pembiayaan negeri ianya tetap berjalan mengikut jadual.

100. Kompleks perniagaan Pekan Rabu sebagai contoh kini sedang giat dibangunkan hasil biaya kerajaan persekutuan berjumlah RM36.9 juta. Lihat dan nilailah dengan kebijaksanaan sendiri dan kemajuan projeknya berada sekitar 69% serta dijangka siap Julai 2017.

101. Demikian juga kerja menaik taraf Dataran Medan Bandar yang bernilai RM 9 juta dengan kos dibiayai Kementerian Pelancongan. Kini sudahpun dimulakan kerja-kerja awalnya.

102. Apabila siap menjelang Disember 2017 pastinya menjadi ikonik bagi pusat Bandaraya Alor Setar beserta monumen warisan yang ada di sekelilingnya seperti Balai Nobat, Balai Jam, Balai Seni, Balai Besar, Istana lama dan Masjid Zahir.

103. Dalam hal ini sukalah saya menjenamakan semula Dataran Medan Bandar dengan nama Dataran Muafakat Kedah, jika sekiranya mendapat persetujuan dalam Mesyuarat EXCO negeri.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

104. Siapsaga infrastruktur dan kemudahan asas untuk keselesaan rakyat sentiasa menjadi keutamaan pihak kerajaan. Bagi tahun 2017, 36% dari keseluruhan belanja pembangunan negeri dikhususkan untuk tujuan tersebut.

105. Meskipun dalam soal pengurusan bekalan air sebagai contoh masih ada rungutan diterima. Namun perkembangan mutakhir ini dengan muafakat barisan pengurusan dan teknikal SADA, banyak aduan pengguna telah dapat ditangani. Sistem hebahan awal berhubung gangguan bekalan turut menampakkan perubahan yang ketara.

106. Menara SADA yang bernilai RM67 juta dan mula beroperasi penghujung April ini diharap meningkatkan lagi perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

107. Saya juga yakin, dengan peruntukkan sekali ganda bagi tahun 2017 berjumlah RM188 juta dan apabila siapnya Loji Rawatan Air Sungai Santap, selain keberkesanan Pusat Aduan SADA bertindakbalas terhadap rungutan pengguna, maka peratusan kecil yakni 4% pengguna yang terjejas dari keseluruhan 550,000 akaun akan dapat dikurangkan.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

108. Keunikan Kedah, terutama pulau Langkawi menggamit kehadiran pelancong tidak boleh disangkal lagi. Dengan hubungan baik bersama kerajaan pusat, sejumlah RM86.5 juta disediakan bagi menaik taraf serta membesarkan jeti Kuah. Kerja projek sudah berada di tahap 96% dan siap sepenuhnya pada 23 Januari 2017.

109. Tuah berganda dinikmati pulau lagenda ini. Sejumlah RM14 juta turut diluluskan oleh Kementerian Kewangan untuk pembesarkan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Kos RM14 juta adalah bagi pengambilan tanah untuk tujuan pembesaran terminal dan kos sebenar dimuktamadkan kemudian nanti.

110. Natijahnya, sasaran untuk menarik lebih ramai pelancong berbanding 3.5 juta tahun lalu akan dapat dipenuhi menjelang tahun 2018 dan 2019.

111. Dalam pada itu, selaras dengan Discovery Kedah 2017, kesemua agensi dan jabatan terlibat diharap menggandakan lagi aspek promosi dan penganjuran acara bagi membolehkan pelancong tidak sekadar melawat Langkawi, malah turut menjadikan Tanah Besar sebagai pilihan destinasi mereka.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

112. Melengkapi kesemuanya ialah projek berskala besar seperti Kedah Rubber City, KSTP dan beberapa projek lain yang sudah memasuki fasa pelaksanaan.

113. RM417 juta telah disalurkan pada Kedah Rubber City bagi tujuan pengambilan tanah dan prosesnya diadakan pada 19 hingga 23 Febuari 2017.

114. Begitu juga KSTP (Kedah Science and Technology Park) di Bukit Kayu Hitam. Proses penyediaan tapak lokasi, serta pembangunan infrastruktur FASA 1 sedang giat dijalankan. Sudah ada beberapa nama besar dalam industri berkaitan yang menunjukkan minat dan komitmen pelaburan.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

115. Saya telah mengambil tanggungjawab untuk membentangkan pencapaian 2016 dan halatuju 2017 bagi digerakkan bersama. Hakikatnya, Kedah berada di landasan yang betul untuk mencapai segala misi yang telah ditetapkan. Realitinya, 2016 telah meninggalkan banyak episod manis bagi kerajaan dan rakyat Negeri Kedah termasuk kejayaan pasukan Lang Merah menjulang Piala Malaysia. Kini 2017 menanti dengan penuh harapan untuk diupaya.

PARA HADIRIN SEKELIAN,

116. Hasrat kepimpinan kerajaan hanyalah satu, kebajikan rakyat dijulang, pembelaan masyarakat ditatang. Inilah keutamaan kita. Insya-Allah, 2017 pastinya memperlihatkan lebih banyak pendekatan ke arah memacu negeri, mendaya potensi.

117. Lantas, di kesempatan yang ada ini, rakaman terima kasih dan penghargaan saya ucapkan di atas komitmen dan kerja keras semua pihak. Dengan sifat leluhur banyak kebaikan dan kemajuan dapat disebarkan untuk dinikmati seluruh rakyat.

118. Hakikatnya juga, kerajaan dengan dibantu jentera sedia ada berusaha menabur bakti. Bukan berniat mencari musuh disana sini. Kerajaan bertekad memberi khidmat bukan menimbul angkara khianat. Kerajaan jujur menyusun gerakerja. Berusaha menepati semua janji dan berbuat yang terbaik, demi memahat satu realiti.

119. In Sha Allah, dengan berkat kerjasama dari semua, segala usaha murni boleh terlaksana. Bersamalah kita dalam sebuah keluarga besar untuk mengikrarkan, agar MUAFAKAT DIJULANG, KHIDMAT BAKTI DITATANG.

120. Kata pantun Melayu lama:

DARUL AMAN BUMI NAN INDAH

RAKYAT HIDUP SALING MUAFAKAT

LANGKAH SEKATA BERDIRI GAGAH

MEMBANGUN NEGERI MENUJU BERKAT.

Sekian, wabillah hil taufik walhidayah Wassalam Mualaikum Warah Matullah Hi Wabarakatuh.






    

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post