PAS Lebih Wajar Bekerjasama Dengan UMNO@BN Berbanding PPBM


ALOR SETAR - PAS dilihat lebih wajar untuk membentuk kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berbanding bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kini menganggotai Pakatan Harapan yang ditunjangi DAP.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berpandangan bahawa kerjasama dengan UMNO dan BN adalah lebih baik bagi PAS ekoran ia dilihat lebih memberi kebaikan khususnya kepada perpaduan ummah dan bumiputera di negeri itu.

"Jika ada peluang, bukan bergabung, tapi lebih kepada kerjasama dengan PAS mungkin kita mengalu-alukan mereka," katanya kepada Kedahnews.com, mengulas mengenai kedudukan parti-parti politik di Kedah menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Mengulas lanjut, Ahmad Bashah melihat PAS perlu berfikir panjang ekoran suasana Pakatan Harapan dan PPBM yang sering bertelagah sesama mereka secara konsisten kerana perbezaan dasar parti dan agenda politik masing-masing.

Jelas beliau, percanggahan tersebut amat jarang berlaku di dalam BN memandangkan parti-parti komponennya yang saling menghormati antara satu sama lain dan memahami konsep perkongsian kuasa yang menghidupkan suasana harmoni sejak merdeka lagi.

"Kita tengok depa pun dok bergaduh, BN lebih baik dan stabil berbanding depa tu," katanya ketika ditanya pandangan mengenai PAS dalam konteks politik negeri Kedah.

Sementara itu, Ahmad Bashah turut mengulas mengenai keyakinan BN yang amat positif untuk mengekalkan kuasa sebagai Kerajaan Negeri di negeri berkenaan susulan dari jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengadakan lawatan rasmi ke Kedah semalam.

Katanya, kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional termasuk akar umbi di negeri ini semakin bersemangat mendengar sendiri amanat Perdana Menteri untuk mencapai kemenangan pada PRU ke-14 nanti, sekaligus memberi keyakinan yang tinggi untuk menepati sasaran tersebut.

Jelas Menteri Besar, dengan bantuan dan keprihatinan Kerajaan Pusat khususnya dari Perdana Menteri untuk memastikan Kedah terus memacu transformasi memberi khidmat terbaik buat rakyat di negeri ini.

Justeru itu kata beliau, adalah lebih tepat jika PAS sama-sama membantu BN Kedah demi kepentingan dan merubah masa depan rakyat Kedah ke arah perpaduan yang lebih menjamin berbanding asyik bergaduh semata-mata kerana politik.

Ahmad Bashah sebelum itu menyampaikan amanat beliau menerusi Perutusan Menteri Besar Kedah bersempena tahun baru 2017 kepada kira-kira 1,000 kakitangan awam Kerajaan Negeri, Persekutuan, Agensi dan GLC negeri di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini pagi tadi.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post