Jabatan Kerajaan Dan Agensi Digesa Permudahkan Urusan Dengan Rakyat - MB Kedah


ALOR SETAR - Pegawai-pegawai kerajaan negeri dan agensinya digesa mempermudahkan urusan yang berkaitan dengan rakyat dengan mengurangkan karenah birokrasi dan protokol. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, mana-mana urusan yang boleh disegerakan hendaklah dipercepatkan agar rakyat tidak ternanti-nanti dan membuang masa mereka datang ke pejabat.

Beliau meminta pegawai dan kakitangan kerajaan negeri mencontohi Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Pengangkutan Jalan yang mampu mempercepatkan urusan dengan orang ramai. Ahmad Bashah berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas Muafakat Kedah sempena tahun 2017 di hadapan ketua-ketua dan pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan di Wisma Darulaman, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Bashah, ada kes seperti permohonan tanah yang berlarutan bertahun-tahun, tetap hanya diserahkan hak miliknya baru-baru ini melalui program bersama rakyat. Kerajaan mahu ketua jabatan dan pegawai turun ke bawah bersama pemimpin kerajaan dan politik untuk mendengar masalah rakyat dan mana yang boleh diatasi hendaklah dipercepatkan, asalkan mematuhi syarat, katanya.

'Kita tidak mahu lagi protokol berlebihan, sebaliknya mengamalkan cara kasual bagi mengurangkan jurang antara pemimpin, pegawai, kakitangan dengan rakyat, " kata Ahmad Bashah. Dalam pada itu, menurutu beliau, kerajaan negeri akan menentukan jabatan kerajaan bukan sahaja dilihat bersih, sifar rasuah tetapi mempertahankan intergriti serta imej jabatan dan agensinya.

Oleh itu kerajaan mengenakan larangan kepada pegawai dan kakitangan bermain golf di luar negara, waktu pejabat atau bersama kontraktor, pembekal serta orang berkepentingan, kata Ahmad Bashah lagi. Menurut Menteri Besar, sepanjang tahun lepas, kerajaan berhadapan dengan berbagai cabaran termasuk persepsi negatif dan diviralkan secara tidak seimbang selain menjadi bualan umum.


Isu-isunya termasuk kenaikan kos sara hidup, kejatuhan nilai ringgit, harga getah, kelapa sawit akibat ketidak tentuan ekonomi dunia dan di luar kawalan kerajaan, Kata Ahmad Bashah, keadaan itu diburukkan lagi oleh kenyataan "pakar ekonomi yang tidak bertauliah" yang berkepentingan politik yang mahu menukar kerajaan dan kepimpinan.

Mereka ini meramalkan negara ini akan bankrap dan menjadi negara gagal, sedangkan realitinya rakyat masih menikmati faedah, masih berbelanja dan diberi berbagai bantuan oleh kerajaan, kata Ahmad Bashah. Bagaimanapun bagi tahun ini, ujar beliau tanda-tanda pemulihan dan prospek ekonomi diramal lebih cerah berikutan kenaikan harga komoditi termasuk getah, minyak sawit dan bahan bakar.

Bagi Kedah, semua program yang dibentangkan pada Bajet 2017 akan dilaksanakan dan ditambah baik selain merancang dan meluaskan aktiviti ekonomi rakyat terutama pengusaha dan penjaja kecil, katanya. Kata Menteri Besar, antara usaha yang diambil ialah memperbanyak bazar rakyat selain merancang Kedah Fest pada penghujung tahun untuk memberi peluang rakyat bersantai dengan keluarga dan berniaga.


#MuafakatKedah #MBBashahPerihatin 

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post