ALOR SETAR - Bagi mengekang politik kebencian yang semakin agresif dicambah pihak-pihak tidak bertanggungjawab, UMNO terus mendekati ahlinya menjelajah ke seluruh negeri menerusi siri penerangannya.
Siri jelajah mendekati akar umbi ini ternyata mendapat sambutan hangat yang rata-rata melahirkan rasa puas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Program penerangan ini yang kini tiba di negeri Kedah selepas bermula di Terengganu, seterusnya ke Pulau Pinang dan Perlis, menyajikan pelbagai jawapan bagi persoalan yang selama ini menghantui rakyat khususnya ahli parti sendiri.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Nashrol Hisham Abdullah berkata, siri jelajah ini adalah bertepatan dengan waktunya kerana ketika ini rakyat cuba disogok dengan pelbagai spekulasi yang boleh memburukkan imej kerajaan pusat.
“Kita dapat lihat di zaman maklumat di hujung jari ini, semuanya cuba diputar belit. Ramai yang mudah terpedaya tanpa memeriksa kesahihan sesuatu perkara yang disebarkan.
“Inilah permainan pembangkang yang menggunakan taktik politik kotor dengan menyebarkan fitnah semata-mata mahu menggambarkan bahawa kerajaan ini tidak adil.
“Jadi program penerangan seperti ini amat baik dan dapat memberikan penjelasan secara terus kepada akar umbi,” katanya.
Ahli UMNO Kepala Batas,Rohani Musa 52 pula berkata, penerangan yang disampaikan sendiri oleh Annuar Musa selaku Ketua Penerangan UMNO adalah amat jelas dan menjawab segala persoalan.
“Sekarang ini sibuk dikatakan negara akan bangkrap. Sudah tentu sebagai orang kampung, kami takut dan bimbang jika benar perkara ini berlaku.
“Tapi ternyata setelah diberi penjelasan, saya sedar bahawa ini semua adalah putar-belit pembangkang,” jelasnya.
Bagi Setiausaha Pemuda UMNO Kedah, Syed Abdul Hafiz Syed Mustafa, penerangan yang diberikan oleh Annuar Musa jelas cukup segala perisa dan sangat jelas untuk difahami oleh akar umbi.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Biro Penerangan UMNO khususnya kepada ketuanya yang jelas mampu berhujah dengan baik dan dapat memahamkan rakyat tentang fitnah pembangkang.
“Saya juga yakin para jemputan yang hadir dapat dapat menerima dan membawa mesej yang disampaikan ke akar umbi.
“Kita harus faham dan mengerti betapa pentingnya mempertahankan parti dan organisasi berteraskan presiden juga tidak boleh lagi sangsi terhadap presiden yang kita sendiri beri mandat untuk memimpin negara ini,” katanya lagi.
Ketua Wanita Cawangan Bonggor Baru Dun Bayu, Fauziah Shaari juga melahirkan rasa berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.
“Saya rasa sangat seronok sebab penerangan yang diberikan kali ini paling hebat dan mudah difahami. Jadi kita harus menjaga apa yang kita ada sekarang kerana kalau tidak ambil berat dan kekuatan kita hilang maka kita akan hilang segalanya,” ujarnya.