"Kenapa PPBM Senyap Dalam Isu RUU 355?"- KP UMNO KEDAH



Keengganan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyatakan pendirian terhadap Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) membuktikan kewujudan parti itu penuh caca marba selain tiada hala tuju jelas dalam pentas politik negara. Ketua Pemuda Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ia sekali gus menunjukkan asas perjuangan PPBM hanyalah dendam, amarah dan bersifat peribadi semata-mata.

"Pindaan RUU 355 yang mengambil tempat untuk dibentangkan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga kini belum diberi maklum balas oleh pimpinan PPBM yang keseluruhannya beragama Islam.

"Kita desak mereka segera menyatakan pendirian rasmi berhubung cadangan pindaan RUU ini. Sehingga kini, kita belum lagi melihat komitmen mereka mengenai pindaan ini. Kenapa mereka senyap sahaja?" katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Pada 26 Mei lepas, Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen kawasan Marang mengemukakan usul RUU berkenaan di Dewan Rakyat. Rang undang-undang Akta 355 dijadual akan dibahaskan dalam sesi mesyuarat ketiga penggal keempat Parlimen ke-13 yang bermula 17 Oktober lepas.

Dalam pada itu Shaiful melontarkan persoalan terhadap persetujuan PPBM yang sehingga kini masih belum terjawab mengenai isu meminda serta memperkemaskan akta berkenaan.

"Selain itu, apakah pendirian PPBM berhubung usaha untuk meluaskan lagi fungsi dan bidang kuasa Mahkamah syariah dalam menangani perlakuan jenayah syariah di kalangan umat Islam?

"Apa pula pendirian dan pandangan PPBM berhubung usaha untuk membolehkan hukuman jenayah syariah ke atas pesalah disetarakan mengikut piawaian hukum syarak kecuali hukuman mati dalam RUU 355 ini?" soalnya.

Tegas Shaiful, pendirian rasmi yang jelas dari PPBM berkaitan RUU 355 itu membolehkan masyarakat terutama umat Islam menilai sama ada parti itu berminat untuk meletakkan Islam selaku dasar keutamaan dalam perjuangannya atau sebaliknya.

"Mungkin mereka takut menyatakan pendirian kerana bimbang kehilangan sokongan DAP, PKR dan PAN dalam usaha mereka menagih kerusi di beberapa kawasan.

"Keengganan PPBM menyatakan sokongan terhadap RUU 355 sekali lagi menunjukkan ianya bukanlah sebuah parti tepat untuk orang Melayu dan Islam selain mereka boleh dikatakan bersekongkol bersama parti chauvinis DAP," jelasnya.

Usul pindaan RUU itu dicadangkan untuk dibahas dan dipinda adalah bagi memperluas dan memperkemaskan bidang kuasa mahkamah syariah berkaitan hukuman zina, qazaf, minum arak dan murtad yang sekarang ini hanya terhad kepada denda RM5,000, penjara tiga tahun dan sebatan enam kali.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post