KUALA LUMPUR: UMNO dan BN perlu sentiasa berwaspada dan peka dengan gerakan pendaftaran ahli baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akhir-akhir ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pengurusan parti juga wajar memantau keghairahan PPBM yang mula melancarkan kempen daftar ahli baru di setiap bahagian.
"Dengan penelitian yang terperinci, unsur duri dalam daging dapat disisihkan. Kita bimbang parti tidak akan mempunyai jentera dan ahli yang padu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang sekiranya perkara ini tidak diteliti dengan sewajarnya.
"Selain itu parti dapat diberi nafas baharu, dengan elemen sabotaj sudah dapat disingkirkan sekali gus UMNO di setiap peringkat dapat membina satu pasukan yang lebih jitu dan berakarkan kesetiaan serta semangat yang tidak berbelah bahagi dikalangan pimpinan dan ahlinya," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
TONTON: PPBM buka pendaftaran keahlian
TONTON: Pendaftaran keahlian PPBM
BACA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia terima sijil kelulusan pendaftaran
Shaiful mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Parti Bahagian Pendaftaran PPBM, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi yang merancang untuk menjelajah ke seluruh negara selepas membuka pendaftarannya buat pertama kali pada Rabu lepas.
Menurutnya, langkah itu bagi merancakkan serta meningkatkan proses pendaftaran ahli.
Dalam pada itu jelas Shaiful, pemantauan ahli UMNO sendiri dapat mengelak unsur sabotaj yang diibarat barah dan mampu membunuh sekiranya tidak ditangani dengan baik.
"Dengan cara ini juga ahli yang sudah membuat keputusan untuk keluar parti secara tidak langsung sebenarnya membantu UMNO untuk terus kekal kukuh dengan ahli yang lebih berkualiti, faham dasar parti dan sanggup pula meletakkan kepentingan organisasi melebihi kepentingan diri.
"Sesungguhnya pada saat ini UMNO memerlukan ahli yang berkualiti tinggi dan setia kepada perjuangan bukannya ahli yang mampu memporak porandakan perpaduan dan masa yang melemahkan parti daripada dalam," ujarnya.
Tegasnya, kesannya kelak adalah proses pembaharuan, pembersihan serta suntikan elemen yang lebih telus dapat dibangunkan di dalam parti sekali gus menyiapkan UMNO dengan lebih tersusun dan berfokus untuk mengungguli PRU ke-14.
"UMNO perlu bersiap siaga daripada sekarang dengan harapan setiap satu ahlinya setia dan sanggup mempertahankan parti daripada sebarang ancaman," katanya. - Awani