Al Fatihah… UMNO Rakam Takziah Atas Pemergian Dr Haron Din

harun-din 

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO bersama dengan seluruh warga Ibu Pejabat mengucapkan salam takziah ke atas ahli keluarga dan sanak saudara Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia, pagi Jumaat.
Allahyarham meninggal dunia hari ini di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung
Perkara ini disahkan oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi dalam pesanan ringkasnya kepada pihak media, yang turut dimuat naik di laman Facebooknya.
“Jam 10.10 pagi ini (waktu Malaysia), berita kami terima bahawa Tuan Guru Datuk Dr Haron Din telah kembali ke rahmatullah di Hospital Stanford University, AS.
“Semoga Allah mencucuri rahmatnya dan mengampuni almarhum Tuan Guru serta menggolongkan beliau dari kalangan hambaNya yang soleh,” katanya.
Nasrudin berkata keluarga Haron dijangka memberi maklumat selanjutnya.
Sementara itu difahamkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah meminta keluarga memutuskan untuk menguruskan jenazah dibawa pulang ke Malaysia sesegera mungkin.
Anak lelaki Haron, Hamdi sebelum ini memaklumkan pada awal pagi Jumaat bahawa bapanya yang menjalani rawatan jantung di hospital di San Francisco, California berada dalam keadaan kritikal dan menggunakan alat bantuan sokongan untuk hidup.
Haron, 76, yang berasal dari Kangar, Perlis dan aktif menyertai Pas sejak 1974 sudah beberapa kali menerima rawatan komplikasi jantung sebelum ini.
Pada 2 April 2012, beliau telah menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Stanford.
Mac lalu, beliau telah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.
Haron menggantikan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am Pas pada Mac 2015.
Justeru, sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah ke atas Allahyarhamah dan semoga roh beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman – Al-Fatihah. -MediaUmno

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post