# Misi Bantuan Muhammad Fakhrullah : Bayi Tiada Tempurung Kepala Perlu Bantuan



ALOR SETAR: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan menderita akibat ketiadaan tempurung kepala sehingga menyebabkan otaknya berada di luar, memerlukan sumbangan untuk menampung kos rawatan. 

Muhammad Fakhrullah Firdaus, dikatakan dilahirkan normal, namun dikesan mengalami kesulitan itu selepas mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, apabila ketulan pada bahagian otak bersaiz sebesar telur ayam dikesan ketika imbasan dilakukan. 

Ibunya, Hasida Ahmad, 35, berkata anaknya itu kerap diserang sawan disebabkan gangguan saraf pada otak dan memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa untuk mengelakkan jangkitan kuman. 

"Anak saya itu mendapat rawatan dua minggu sekali untuk mencuci benjolan pada kepala di HSB dan apa yang menyedihkan, pihak hospital menjangkakan anak saya hanya mampu bertahan dalam tempoh tiga bulan saja memandangkan keadaan otaknya yang sentiasa mengeluarkan cecair kuning, putih dan hijau. 

"Dengan pendapatan suami, Firdaus Mohd Rahim, 35, yang tidak menentu sebagai pemandu lori dengan gaji kira-kira RM1,000 sebulan, ia tidak mencukupi untuk kami menyara kehidupan keluarga apatah lagi untuk keperluan perubatan anak bongsu kami itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Flet Simpang Kuala, di sini. 

Terdahulu, dia menerima kunjungan Biro Kebajikan UMNO Kedah diketuai Pengerusinya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Masri, yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan kelengkapan harian serta ubatan kepada bayi itu. 

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Hasida di talian 017-4687531 atau menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank milik Firdaus Mohd Rahim 152050233296.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post