Pemaju Hartanah Bertingkat Disaran Jimat Guna Tanah - MB



ALOR SETAR: Kerajaan negeri menyarankan pemaju membina bangunan perniagaan dan perumahan bertingkat bagi menjimatkan tanah yang semakin terhad khususnya di bandar raya ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata tanah adalah sumber yang tidak dapat diganti dan akan berkurangan di samping harganya sentiasa meningkat. 

Katanya, peningkatan harga itu sekali gus menyumbang kepada ketidakmampuan rakyat di negeri ini untuk memiliki rumah."Pemaju seperti ahli Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia ( REHDA) sudah mempunyai alternatif lain bagi mengurangkan harga sesebuah bangunan iaitu menggunakan sistem bangunan industri (IBS). 

"Justeru kerajaan negeri menyambut baik usaha REHDA Kedah/Perlis yang mengorak langkah menggalakkan ahlinya menggunakan sistem IBS di dalam pembinaan rumah dan bangunan komersial serta pembinaan bangunan mesra alam," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Makan Malam Tahunan REHDA Kedah/Perlis di Hotel Grand Alora di sini malam tadi. 

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim dan Timbalan Presiden REHDA Malaysia, Datuk Sivanyanam Sinnathamby. 

Ahmad Bashah berkata, adalah menjadi harapan kerajaan negeri dengan penjimatan kos yang berlaku, pemaju dapat menjual rumah dengan harga yang setara dengan kemampuan sebahagian besar rakyat negeri Kedah. - BH

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post