UMNO Jerlun Mantap Dengan Kerjasama Semua Peringkat Hadapi PRU14 - Dato Othman Aziz




JERLUN - UMNO bahagian Jerlun optimis kerusi Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam, Kota Siputeh dan Parlimen Jerlun mampu dipertahankan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.
"Walau siapa juga calon yang diputuskan, kita yakin pengundi akan memberikan mandat semula kepada BN, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun dan naib ketua bahagian itu bagaimanapun mengingatkan ahli UMNO mempertahankan parti keramat itu agar terus dihormati pengundi.
Keyakinan itu disuarakan oleh Othman yang juga bekas anggota Exco kerajaan negeri dan bekas ADUN Ayer Hitam semasa beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO bahagian itu, di Ayer Hitam, Kedah semalam.
Beliau turut menggesa ahli Puteri bekerja sebagai satu pasukan bagi memperkasakan parti sebagai persediaan menghadapi PRU yang dijangka tidak sampai dua tahun lagi.
"Kekalahan BN di Kedah pada PRU sebelum ini wajar dijadikan pengajaran agar ia tidak berulang, kata Othman yang merupakan Ahli Parlimen Pertama Jerlun dilantik sebagai Timbalan Menteri.
Beliau meminta ahli parti terus menyokong kepimpinan bahagian dan negeri serta tidak mudah terpedaya dengan propaganda pembangkang untuk memporak-peranda UMNO.
Dalam pada itu Pemangku Ketua Bahagian, Datuk Abu Hasan Sariff  menyarankan ahli parti mengetepikan titik- bengik, rasa tidak puas hati atau kebencian terhadap mana-mana pihak,  sebaliknya bekerja sebagai satu pasukan.
Mereka perlu mengutamakan parti demi kelangsungan perjuangan UMNO demi masa depan orang Melayu, kata Abu Hasan yang juga ADUN Kota Siputeh dan penyandang timbalan ketua bahagian Jerlun.
Ketua pergerakan Puteri bahagian itu, Yusmawati Yaakob pula mengajak ahli Puteri bangkit dengan penuh semangat dan tidak mengalah bagi meneruskan perjuangan parti walaupun ada yang berpaling tadah.
Walaupun ADUN Ayer Hitam, Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletak jawatan Menteri Besar Februari lalu dan dipecat keahlian, UMNO bahagian Jerlun dilihat masih stabil.
Daripada 167 cawangan UMNO dalam bahagian itu,  tidak ada cawangan yang dibubarkan.
Tiada kecaman terhadap Mukhriz semasa ucapan perasmian mesyuarat itu sekalipun ADUN Ayer Hitam itu kerap kali 'menyerang' Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Sebelum ini blok-blok pembangkang juga menghebohkan Mukhriz kemungkinan bertanding semula kerusi Parlimen Jerlun atas tiket parti baharu yang dicetuskan bapanya, Tun Dr. Mahathir dan bakal bergabung dengan pakatan pembangkang (PKR, DAP dan PAN).

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post