Bersih 5 Jadi Alat Puas Nafsu Tun M Kata Pemuda UMNO Kedah


KUALA LUMPUR: Perhimpunan Bersih 5 membuktikan Bersih 2.0 termasuk pengerusinya, Maria Chin Abdullah menjadi perkakas politik pembangkang dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, desakan mereka untuk penyelesaian segera isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga dilihat tersasar jauh daripada perjuangan asal Bersih 2.0.

“Usaha Maria Chin dan rakan sekutu dalam Bersih 2.0 untuk menganjurkan himpunan aman Bersih 5 dengan sasaran menuntut penyelesaian segera bagi isu IMDB ternyata menampakkan gerakan itu sudah lari dari matlamatnya.

Mahathir Bersih 4

“Bersih 2.0 yang selama ini lantang memperjuangkan isu pembaharuan dalam sistem pilihanraya tiba-tiba berubah wajah menjadi alat politik untuk turut bersekongkol mengambil kesempatan dalam isu 1MDB.

“Sudah wujud kesebatian dalam kerangka pemikiran agen pembangkang apa jua fakta, penyiasatan, laporan audit atau pembentangan yang dibuat oleh 1MDB ditolak kerana keenganan menerima jawapan, lantas jalan mudah ialah dengan menuduh wujudnya berlaku penyelewengan berskala besar melibatkan wang rakyat, walhal hakikat sebenarnya tidak begitu,” katanya kepada Astro AWANI di sini pada Rabu.

Pada Rabu, Maria Chin mengumumkan akan menganjurkan perhimpunan aman Bersih 5 susulan pendedahan yang dibuat Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) tentang dakwaan penyelewengan wang yang berlaku melibatkan 1MDB. Bagaimanapun, tarikh, masa, tempat serta bentuk perhimpunan yang akan dibuat masih belum ditetapkan dan akan diumumkan kelak. Dalam pada itu tegas Shaiful, Bersih 2.0 sekali lagi diperalat Dr Mahathir dan kroni kapitalis di belakangnya.

“Ia terjadi setelah tokoh usahawan berkenaan terjejas perniagaan mereka kerana banyak industri strategik yang selama ini memberi kemewahan kepada kroni Dr Mahatahir kini dimiliknegarakan melalui 1MDB.

“Bersih 2.0 terkeliru dengan siasatan yang dijalankan DOJ dan langsung tidak memgambil kira pendakwaan yang telah ditarik balik DOJ serta tuduhan yang dikenakan DOJ dalam siasatan mereka.

“Bersih 2.0 juga gagal mengambil kira realiti bahawa segala pertuduhan yang kemudiannya ditarik balik DOJ adalah berdasarkan ‘hearsay evidence’ yang dibawa kumpulan pelobi Dr Mahathir dan banyak kecacatan maklumat,” jelasnya.


Justeru itu kata Shaiful, Bersih 2.0 juga menganggap segala dakwaan itu benar sekali gus menampakkan mereka adalah satu cabang atau alat Dr Mahathir untuk melunaskan dendam peribadinya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jelas, Bersih 2.0 bukan sekadar sudah lari dari perjuangannya selama ini dalam membaiki sistem dan perjalanan pilihanraya di negara ini malah kini mudah diperalat dan dijadikan alat demi memuaskan nafsu politik Dr Mahathir.

“Kita juga menggesa pihak polis segera menyiasat dan pada masa sama menghalang pengacau ini daripada terus menimbulkan huru hara,” ujarnya.

Di samping menuntut akauntabiliti, antara yang turut dituntut perhimpunan Bersih 5 nanti adalah kesinambungan daripada perhimpunan Bersih 4 iaitu pembaharuan institusi yang dilihat mengganggu ketelusan proses siasatan isu 1MDB. Bersih 2.0 bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mendakwa sudah memulakan aktiviti protes mingguan dan menyokong perhimpunan #TangkapMalaysianOfficial1 pada 27 Ogos ini.-Awani

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post