Lebih Banyak MRSM ‘Ulul Albab’ Akan Dibina Bagi Melahirkan Professional Yang Hafiz



Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) model ulul albab yang dirancang Majlis Amanah Rakyat (Mara) dijangka disiapkan dalam masa tiga tahun akan datang.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, terdapat cadangan lima ulul albab dirancang Mara setakat ini termasuk di Bera (Pahang), Bintulu (Sarawak), Ranau (Sabah), Ketereh dan Tanah Merah (Kelantan).

“Setakat ini sudah ada 54 MRSM seluruh negara dan model ulul albab ini menjadi permintaan ramai ibu bapa dan pelajar.

“Namun dengan kosnya yang agak tinggi, Mara lebih berminat untuk adakan mini ulul albab. Ia mungkin tak perlu habiskan 30 juzuk tetapi hanya separuh sahaja. Melalui sistem ulul albab ini kita akan lahirkan golongan profesional yang hafiz, sekali gus melahirkan generasi yang seimbang dunia akhirat,” ujarnya selepas menyampaikan surat tawaran kemasukan MRSM kepada 33 pelajar Bachok, semalam.

Selain itu, Awang Adek berkata, MRSM juga mempunyai sistem pendidikan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) merupakan sistem pendidikan dwi sijil yang diperkenalkan oleh Mara.

Menerusi program ini, pelajar ditawarkan dengan dua sijil pendidikan pra-universiti diiktiraf Kementerian Pendidikan iaitu Sijil Pelajaran Malaysia dan Cambridge IGCSE.

Pelajar akan ambil empat peperiksaan iaitu Peperiksaan Cambridge Checkpoint, Pentaksiran Tingkatan 3, Peperiksaan IGCSE dan SPM.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post