#PAU2017 : Semboyan Perang "Tanda Jihad" Hadapi PRU14 Sudah Ditiup Presiden UMNO - Syed Johan


ALOR SETAR - Semboyan perang yang ditiup oleh Presiden UMNO, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak pagi tadi memberi petanda cukup jelas kepada kira-kira 3.6 juta warga parti itu untuk menyahut seruan "jihad besar" mempertahankan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, setiap warga parti keramat bangsa itu bertanggunjawab untuk menyahut seruan tersebut demi memastikan survival agama, bangsa dan negara dapat dikekalkan.

"Semboyan perang yang ditiupkan oleh Presiden parti cukup jelas bahawa PRU14 ini merupakan satu' jihad besar 'untuk setiap ahli dan pendokong UMNO demi memastikan survival generasi, agama, dan kesinambungan tamadun bangsa serta keharmonian antara etnik dapat terus dikekalkan.."

"UMNO dan seluruh pengundi perlu yakin bahawa berbanding pakatan parti lain UMNO dan BN berada dilandasan yang betul. Pendekatannya, dasarnya dan gerakerjanya demi memartabat keharmonian sebuah negara bangsa," katanya dalam satu kenyataan kepada Kedahnews.com, di sini, hari ini.

Syed Johan Rizal turut menyeru kepada seluruh pejuang-pejuang parti itu supaya bersatu hati, menolak dan melupakan segala sengketa sesama sendiri, sebaliknya mengekalkan solidariti tidak berbelah bagi kepada UMNO dan BN pada pilihan raya kali ini.

Tegas beliau, dengan ancaman dan serangan pihak pembangkang yang terang-terang mengelirukan rakyat dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas, beliau yakin Allah SWT lebih mendengar doa dan harapan UMNO yang dizalimi musuh politiknya itu.

"Dengan rendah diri, saya merayu kepada seluruh warga UMNO dan BN, kita teguhkan solidariti kita buat parti. Itu sangat penting untuk mendepani kebobrokan pembangkang yang menggunakan strategi propaganda menuduh kita dengan suatu yang palsu.

"Saya sentiasa yakin Allah SWT bersama kita. Apatah lagi disaat zaman fitnah menggila ini, saya yakin sepenuh hati Allah SWT lebih mendengar doa dan harapan kita yang dizalimi pihak pembangkang, khususnya Pakatan Harapan," tegas beliau.

Justeru itu, Syed Johan Rizal yang hadir sebagai perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar berkata, ahli parti yang mengakui diri 'orang UMNO" perlu berjuang habis-habisan menentang kebejatan pembangkang pada pilihan raya kali ini.

Tegas beliau, melihat kepada huru-hara, perbezaan dasar parti dan pepecahan dalaman yang kian meruncing di kalangan parti pembangkang, adalah jelas bahawa BN sahaja yang dilihat tepat untuk terus kekal mentadbir untuk mengekalkan kestabilan negara.

"Ahli UMNO dan seluruh rakyat tidak mempuyai opsyen lain yang lebih baik jika mahu melihat negara ini terus kondusif, aman dan stabil melainkan dengan memastikan BN terus diberi mandat melengkapi kejayaan pentadbiran dan pengurusan negara yang telah dibuktikan selama ini," tegas Syed Johan.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post