Kedah Sedia Naiik Taraf Terminal Feri


SUNGAI PETANI - Kerajaan negeri bersedia melaksanakan projek naik taraf Terminal Feri Kuala Kedah dengan kos RM208 juta bermula Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain, berkata proses tender juga akan dibuka sebelum kerja dimulakan.

"Semua persediaan bagi projek naik taraf Terminal Feri Kuala Kedah sudah ada, termasuk peruntukan. Kita hanya tunggu proses tender yang dijangka Januari depan sebelum melaksanakan projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Dawai, di sini hari ini.

Katanya, projek naik taraf terminal itu akan dijalankan di tapak asal.

"Sebelum ini ada cadangan nak pindah (terminal), tetapi selepas kajian oleh Jabatan Laut Malaysia, tidak ada tempat lagi selain di situ (tapak asal) sahaja.

"Mahu tak mahu, walaupun orang kata air di situ cetek dan ada masalah selut, tak ada tempat lain lagi yang lebih sesuai," katanya.

Pada majlis hari ini, beliau menyerahkan elaun sara hidup kepada 904 ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tanjung Dawai.

Tajul Urus berkata, sepanjang tahun ini, sebanyak RM2.79 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan bagi pemberian elaun sara hidup kepada nelayan Tanjung Dawai. - BH Online

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post