Kedah Fokus Tanam Kelapa Disetiap Daerah



Kerajaan negeri akan memfokuskan kepada penanaman kelapa di Kedah dengan memastikan setiap daerah mempunyai kluster tanaman itu, bagi memenuhi permintaan bekalan menjelang tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan, Pertanian dan Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob, berkata usaha itu boleh direalisasikan dengan menggalakkan setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya lima hingga 10 tanaman kelapa.

Beliau berkata, sehingga kini bekalan kelapa bagi Kedah tidak mencukupi sehingga pembekal terpaksa mengimport dari Indonesia khususnya apabila musim perayaan tiba.

"Sudah tiba masa untuk penduduk di negeri ini memainkan peranan dengan menanam sekurang-kurangnya lima batang pokok kelapa di rumah masing-masing.

"Kelapa ini banyak kegunaan khususnya dalam pemakanan, malah banyak juga produk hiliran boleh dicipta melalui tanaman itu termasuk minyak kelapa dara ataupun sabun, " katanya kepada pemberita pada Majlis Sumbangan Back To School Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang, dekat sini.

Suraya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, berkata bukan sahaja pemakanan, kelapa juga boleh dikomersialkan dalam bidang perubatan dan rawatan kerana khasiatnya.

Katanya kajian dijalankan di luar negara juga membuktikan air kelapa boleh memberikan tenaga.

"Sebab itu kita harus mengambil peluang ini menanam pokok kelapa dan apabila keluar hasilnya, kita akan membantu untuk tujuan menghasilkan produk hiliran, " katanya.

Terdahulu, Suraya menyampaikan sumbangan berbentuk baucar sebanyak RM100 dan RM120 kepada kira-kira 700 pelajar sekolah rendah dan menengah di DUN Sungai Tiang.

Beliau berkata, bagi bantuan 'Back To School', kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM720,000 untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan membeli barangan keperluan harian.

"Setiap DUN akan diberikan RM20,000 dengan ADUN sendiri akan sampaikan kepada pelajar yang memerlukan...selain itu kita akan beri sumbangan 200 beg sekolah kepada pelajar berkelayakan, " katanya.


SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post