ALOR SETAR - Kapten FELDA United, Shukor Adan mengakui Kedah mempunyai pemain tempatan berkualiti apabila masih berjaya melangkah ke final Piala Malaysia meskipun kehilangan dua tonggak pemain import pada perlawanan separuh akhir kedua semalam.
Biarpun dua gol yang dihasilkan Kedah dalam aksi di Stadium Darul Aman menerusi pemain import Brazil, Sandro Mendonca, pasukan tuan rumah masih hebat tanpa pemain perancang, Liridon Krasniqi dan penyerang, Ken Ilso.
Skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff itu hanya menurunkan pemain muda Farhan Roslan dan Syafiq Ahmad bagi mengisi kekosongan itu dan percaturan itu berjaya membawa mereka layak ke final buat kali ketiga berturut-turut menerusi agregat 3-1.
"Bagi saya pemain agak kecewa, apa yang kita buat pada babak pertama tak menjadi, nampak Kedah lebih bagus.
"Saya harus mengucapkan tahniah kepada pemain Kedah walaupun tanpa pemain import, mereka masih mempamerkan aksi-aksi yang baik dan masih ada lagi pemain tempatan yang berkualiti," kata Shukor.
Kekalahan itu cukup mengecewakan Shukor, 38, yang mengimpikan final kelapan Piala Malaysia dalam karier dengan empat kejuaraan.
Dia tidak menafikan tuah tidak memihak kepada FELDA biarpun bangkit bermain lebih baik pada separuh masa kedua.
"Selepas mendengar kata-kata daripada jurulatih Sathianathan ketika rehat, kami bermain dengan lebih baik pada separuh masa kedua tapi tak ada rezeki untuk menjaringkan gol, peluang yang kita ada terkena palang dan diselamatkan penjaga gol Kedah," kata bekas pemain kebangsaan itu.