Kejayaan Kedah Ke Pentas Final Piala Malaysia 2017 Amat Manis - Ahmad Bashah


Kejayaan skuad bola sepak Kedah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 membuktikan isu negatif ditularkan sebelum ini, hanya persepsi 'nakal' yang datang daripada individu tertentu itu sendiri.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah berkata lebih manis lagi, Kedah akan sekali lagi bertemu pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), selepas skuad Lang Merah itu menjuarai Piala Sumbangsih dan Piala FA pada awal musim ini.

"Di sebalik isu-isu berkaitan bola sepak Kedah yang ditularkan pihak tertentu pada masa ini, kejayaan ke perlawanan akhir amat manis sekali saya rasakan. Saya menyedari isu ditularkan berdasarkan persepsi dan perspektif masing-masing yang adakala terlalu nakal selain ada juga sentiasa positif dengan pasukan.

"Kepada yang terus memberi sokongan, saya ucapkan terima kasih dan kita akan terus bergerak ke hadapan bersama-sama untuk cuba mengecapi kejayaan demi kejayaan. Inilah berkat muafakat sepasukan dan kejayaan seperti ini tidak akan datang hanya kerana seorang individu, ini kejayaan pasukan Kedah," Jelas Ahmad Bashah.

Ahmad Bashah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) turut mengucapkan tahniah kepada anak buah Mohd Nidzam Adzha Yusoff yang berjaya melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut sejak 2015.

Ahmad Bashah berkata, pertemuan antara Kedah dan JDT dijangka sengit kerana skuad Harimau Selatan itu adalah pasukan yang perlu diberi perhatian dan berharap pemain dapat beraksi dengan bersungguh-sungguh pada perlawanan tersebut.

"Saya harap pasukan Kedah cuba sedaya mungkin untuk membawa pulang Piala Malaysia buat kali keenam (selepas muncul juara 1990,1993,2007,2008 dan 2016) serta piala ketiga bagi musim ini. Saya yakin kita mampu menghadapi cabaran ini kerana kita pernah menewaskan JDT dua kali musim ini, ketika perlawanan Piala Sumbangsih dan Piala FA," jelas Ahmad Bashah.

Kedah akan berdepan JDT pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2017, 4 November ini selepas menewaskan FELDA United 2-0 pada aksi separuh akhir kedua, malam kelmarin sekaligus mencatat kemenangan dengan agregat 3-1. - Bernama

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post