Dewan Rakyat Ucap Takziah Kemangkatan Sultan Kedah


KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah atas kemangkatan Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, pada 11 September lalu.

Ucapan takziah dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebelum sidang Mesyuarat Ketiga bagi penggal kelima Parlimen Ke-13 bermula, hari ini.

"Bagi pihak Majlis Dewan Rakyat, saya mengucapkan takziah pada Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun dan seluruh kerabat Diraja Kedah.

"Almarhum mencipta sejarah dalam pemerintahan beraja di negara ini kerana menjadi sultan pertama menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, iaitu pertama kali bagi tempoh bermula 23 Julai 1970 hingga 21 September 1975, dan kali kedua bagi tempoh 13 Disember 2011 hingga 12 Disember 2016.

"Ucapan ini perlu disimpan dalam arkib dan satu lagi salinan dihantar pada Sultanah Kedah," katanya.

Ronald kemudian memohon ahli Dewan Rakyat beragama Islam membacakan al-Fatihah kepada Almarhum Sultan Kedah, manakala yang bukan Islam bertafakur selama satu minit, sebelum mesyuarat diteruskan.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, masing-masing menarik kembali Rang Undang-Undang (RUU) Setem (Pindaan) 2017 dan RUU Sistem Insurans Pekerjaan 2017 daripada aturan urusan mesyuarat, sekali gus tidak akan dibaca dan dibahaskan buat kali kedua.

Mengikut aturan urusan mesyuarat asal, kedua-dua RUU itu masing-masing berada pada kedudukan ketiga dan keempat, manakala RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 (RUU 355) berada pada kedudukan kelima. - BH Online

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post