Baddrol Mahu Trofi Piala Malaysia Kekal Di Kedah


Pemain tengah Baddrol Bakhtiar mahu Piala Malaysia kekal di bumi Kedah untuk membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang digeruni di negara ini.

Skuad Helang Merah melakar sejarah tersendiri dengan melangkah ke final kejohanan itu buat kali ketiga berturut-turut selepas mengatasi FELDA United di separuh akhir menerusi agregat 3-1.

Bagaimanapun ia bukan mudah untuk anak buah Nidzam Adzha Yusoff mempertahankan kejuaraan itu seperti yang dilakukan pada 2007-2008 kerana lawan mereka pada final di Stadium Shah Alam 4 November ini adalah juara Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bagi Baddrol, 29, mereka sudah bersedia untuk membuat perhitungan.

"JDT pasukan yang kuat di Malaysia kerana mereka ada pemain yang memiliki teknik bagus, pemain import yang bagus tapi bagi kami, itu satu cabaran dalam bola sepak.

"Kami akan bermain seperti sebelum-sebelum ini dan kami akan buktikan bahawa pasukan Kedah ini pasukan elit yang begitu digeruni di Malaysia," katanya.

Ini kali kedua skuad Helang Merah bertemu JDT bagi perebutan piala apabila menjulang trofi Piala Sumbangsih awal tahun ini menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas permainan terikat 1-1.

Kedah juga memburu piala ketiga musim ini selepas turut merangkul Piala FA dengan menundukkan Pahang 3-2 di final Mei lalu.

Bagi Baddrol, dia tidak mahu mensia-siakan peluang di final apatah lagi selepas pengorbanannya bermain dalam kesakitan belakang tengkuk dan mukanya akibat pelanggaran dengan rakan sepasukan pada sesi latihan sehari sebelum perlawanan separuh akhir kedua Sabtu lalu.

"Memang saya berada dalam keadaan sakit tapi saya tak hiraukan sakit itu sebab saya fikirkan pasukan dan nekad saya untuk membawa Kedah sekali lagi ke final," katanya. - BH Online

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post