103 Mangsa Banjir di Kedah Masih Di Pusat Pemindahan


ALOR SETAR - Sebuah keluarga dari Kampung Teluk, Mukim Bukit Pinang di sini, tidak dapat menjalankan aktiviti harian termasuk keluar bekerja selepas rumah mereka ditenggelami kejadian banjir sejak Rabu lalu.

Zulkifli Shafie, 43, antara lebih 200 penduduk dari daerah ini yang dipindahkan ke pusat pemindahan (PP), selepas beberapa kawasan dinaiki akibat hujan lebat.

Beliau mendakwa, banjir kali ini agak teruk kerana walaupun sudah memasuki hari ketiga, air masih bertakung menyebabkan kerja pembersihan tertangguh.

Katanya, kali terakhir rumahnya dilanda banjir pada tujuh tahun lalu, namun ketika itu air surut dalam tempoh tiga hari.

"Malah saya juga masih tidak boleh bekerja esok kerana melihat keadaan rumah, selain pakaian ke tempat kerja tidak sempat diselamatkan selepas tenggelam banjir.

"Kami pulang seketika hari ini untuk meninjau keadaan rumah tetapi perlu bermalam di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Abu Bakar," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Seorang lagi mangsa banjir, Mohd Zamri Ismail, 31, berkata, ketika kejadian itu, hanya ibunya, Bunga Shafie, 64, yang berada di rumah kerana dia dan adik perempuannya Nur Fatin Ismail, 22, keluar bekerja.

"Bagaimanapun sebaik mengetahui rumah dilanda banjir saya terus bergegas pulang dan sebaik tiba terus membantu emak mengalihkan barangan yang sempat diselamatkan ke tingkat atas.

"Air naik terlalu pantas menyebabkan ada barangan termasuk perabot rumah tidak sempat diselamatkan dan rosak ditenggelami air," katanya yang turut berpindah ke SK Haji Abu Bakar.

Sementara itu, seramai 103 lagi penduduk membabitkan 36 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan (PP) banjir.

Penyelaras Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, berkata sehingga jam 8 malam ini, hanya dua PP masih dibuka di daerah Kota Setar.

Beliau berkata, bagi PP Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Abu Bakar yang dibuka sejak Rabu, ia menempatkan 35 penduduk membabitkan 12 keluarga.

"Bagi PP SK Titi Gajah ia menempatkan 68 penduduk membabitkan 24 keluarga, " katanya. 

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post