Pelayan istana di Istana Anak Bukit di sini, Shahrul Salmi Ahmad, 39, berkata beliau sangat berbesar hati dan bersyukur kerana berpeluang berkhidmat untuk Almarhum baginda yang merupakan seorang Sultan yang sangat mesra dan penyayang itu selama lebih sembilan tahun.
"Almarhum tuanku tidak kisah berbual-bual dengan saya, pelbagai kisah kami kongsi bersama dan saya suka tanya kisah dulu-dulu macam cerita zaman penjajah dan Almarhum tuanku tidak pernah jemu melayan soalan-soalan saya dengan penuh mesra diselangi dengan gurauan dan gelak tawa," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Shahrul Salmi berkata beliau sangat terharu apabila Almarhum baginda memilihnya untuk berkhidmat di Istana Negara semasa Almarhum dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Dis 2011 hingga 13 Dis 2016.
"Semasa di Istana Negara, kami sering bersenam bersama. Saya adalah bekas penari, jadi saya selalu melakukan poco-poco, kalau Almarhum baginda larat, baginda ikut sekali, jika tidak, Almarhum baginda duduk saja dan tengok kami bersenam beramai-ramai.
"Oleh kerana saya berbadan agak besar, Almarhum selalu ingatkan saya agar jaga makan dan cuba turunkan berat badan kerana katanya akan mudah dapat penyakit dan Almarhum serta anakanda-anakanda Almarhum selalu ingatkan saya agar sentiasa bersenam," katanya yang pernah mengikuti Almarhum Sultan Abdul Halim ketika melakukan lawatan ke beberapa negara.
Menceritakan detik (malam) terakhir bersama Almarhum baginda, Shahrul Salmi berkata beliau bersama dua lagi rakan setugas serta seorang jururawat dan pengawal keselamatan langsung tidak dapat melelapkan mata kerana bimbangkan keadaan Almarhum baginda yang dilihat sangat uzur.
Beliau berkata mereka seolah-olah dapat merasakan bahawa akan kehilangan Sultan berjiwa rakyat yang sangat disayangi segenap lapisan rakyat itu.
"Saya ada beberapa kali memanggil Almarhum baginda dan bertanya; Tuanku mahu santap air?... Almarhum hanya mengangguk dan saya suapkan air menggunakan sudu.
"Keadaan itu sangat menghibakan dan saya terkenang, setiap kali sebelum saya habis bertugas, Almarhum akan bertanya siapa yang akan masuk untuk syif seterusnya dan akan menyampaikan beberapa pesanan kepada pelayan istana yang akan masuk tu," katanya.
Pemuda berasal Pokok Sena itu berkata beliau tidak akan melupakan segala pesanan Almarhum baginda dan akan cuba merealisasikannya.
"Almarhum tuanku pesan, kalau nak buat sesuatu, buat betul-betul. Bila orang bagi kepercayaan kepada kita, buktikan bahawa kita boleh buat dan banggakan mereka," katanya sebak mengingati kenangan-kenangan manis bersama Almarhum baginda.