Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan selepas disyaki memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap Almarhum Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata suspek ditahan di sebuah rumah di Genting Highlands, Pahang pada jam 12.27 tengah malam tadi.
“Selepas menerima laporan mengenai komen berbentuk penghinaan terhadap kemangkatan Sultan Abdul Halim, siasatan dijalankan oleh JSJK Bukit Aman.
“Hasil siasatan, suspek ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman dan Balai Polis Genting serta direman dua hari bagi membantu siasatan.
“Turut dirampas seunit telefon bimbit jenama Apple model iPhone 7 Plus dan seunit laptop MSI Gaming G Series,” katanya dalam satu kenyataa, hari ini.
Acryl Sani berkata, pihaknya juga sedang mengesan seorang lagi individu yang turut memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap kemangkatan Almarhum Sultan Kedah.
“Untuk kedua-dua kes, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.