BN Kedah Perlu Gandakan Usaha Pertahankan Kedah


BN Perlu Gandakan Usaha Pertahan Kedah Daripada Jatuh Ke Tangan Pembangkang Dalam PRU-14. Pergerakan Pemuda UM­NO Kedah meminta jentera Barisan Nasional (BN) melipat gandakan usaha dan tidak mengambil ringan ramalan pihak tertentu bahawa negeri itu akan jatuh ke tangan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, gesaan itu dilakukan atas dasar tidak mahu mereka berada dalam zon selesa.

“Namun kita yakin BN tidak akan tumbang begitu sahaja berikutan usaha pembaharuan yang dibuat oleh YAB Menteri Besar, Datuk Seri DiRaja Ahmad Bashah Md. Hanipah.

“Antaranya, inisiatif memban­tu isi rumah melalui program Bantuan Rakyat Kedah (Barakah), bantuan pendidikan dan inisiatif khas anak muda yang mana program ini akan menjadi penyebab rakyat Kedah memberikan soko­ngan kepada BN dalam PRU yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas hasil kaji selidik oleh parti pembangkang yang menunjukkan BN akan kehilangan kuasa di Kedah dan empat negeri lain.

Kata beliau, Pemuda UMNO Kedah yakin gaya kepemimpinan ‘cara Kedah’ yang diamalkan Ahmad Bashah semakin popular dan diterima oleh rakyat negeri ini malah mereka selesa dengan cara kepemimpinan tersebut.

“Namun kita tidak boleh menolak hasil kajian itu mentah-mentah dan perlu mencari asas dan sebab kajian tersebut. BN Kedah tidak boleh berada dalam zon selesa atau ‘sindrom penafian’.

“Mereka perlu membuat tapisan lebih daripada satu ‘lapisan’ kerana kita tidak boleh membuat kesilapan. Harus diingatkan kelekaan di zon selesa telah membuatkan BN tumbang dalam PRU ke-12 yang mana ketika itu BN sama sekali tidak menyangka akan tumbang di Kedah,” katanya,

Tambahnya, Pemuda UMNO yakin faktor kebimbangan mampu membentuk benteng politik yang lebih kukuh dan jentera parti perlu diperkuat sehabis baik malah persiapan rapi adalah senjata yang paling kuat untuk mempertahan kuasa pada PRU yang akan datang.



SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post