Mengulas strategi yang sedang disusun PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), beliau menyifatkan usaha itu akan gagal memandangkan dua parti itu tidak punya kata sepakat.
"Jika PPBM ada strategi dan calon MB, PKR pun ada strategi dan calon MB.
"Nampak sangat mereka tidak sepakat untuk membentuk kerajaan di Kedah," Jelas Sabrina.
Dua parti pembangkang itu dilaporkan sedang mengatur langkah menawan Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang, selepas PAS tidak lagi bersama dalam Pakatan Harapan (PH).
PAS sebelum ini pernah mentadbir Kedah menerusi Allahyarham Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
PKR sebelum ini memberitahu partinya akan bertanding sekurang-kurangnya di 16 kerusi DUN pada PRU14 akan datang.
Manakala PPBM, yang diwakili Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula menyatakan minat partinya untuk menawan Kedah.
PKR dan PPBM Kedah kini dilaporkan sedang sibuk mengadakan rundingan berkenaan kerusi supaya pertindihan dapat dielakkan.
Sabrina yang juga ADUN Bandar Baharu ketika mengulas lanjut berkata sukar untuk rundingan itu berjaya sementelah 'banyak kepala' dalam dua parti itu.
"Mereka nampaknya banyak nakhoda dalam satu kapal. Jika hendak menang Kedah, mereka kena ada satu pakatan yang kuat, iaitu antara PPBM, PKR dan lain-lain," katanya.
Malah mengulas strategi PKR untuk meletakkan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sebagai calon menteri besar selepas PRU14, Sabrina mempersoal kredibiliti pemimpin parti berkenaan.
"Beliau dahulu orang Umno, sekarang menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani. Kita tak nampak apa yang dibuat Johari Abdul di Sungai Petani. Peruntukan Parlimen pun kita tak tahu apa yang dibuatnya, sumbangan kepada negeri pun tiada sejak dahulu, apa legasinya pun kita tak nampak," katanya.
Johari sebelum ini juga dikatakan bakal bertanding di DUN Gurun yang kini disandang oleh Datuk Dr Leong Yong Kong dari Barisan Nasional (BN), malah mengakui usaha parti untuk menjadikan dirinya bagi menerajui Kedah.