Tiada Guna Bergantung Kepada Parti Yang Berteraskan Dendam & Kekecewaan

Image result for ADUN PEDU

KUALA NERANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, YB Kama Noriah Ibrahim berkata UMNO tidak pernah mengambil mudah kempen pakatan pembangkang terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kini semakin aktif memanipulasi isu, menyemai perasaan benci serta mengelirukan rakyat terhadap parti yang pernah mereka naungi.

Menurutnya, jentera parti Barisan Nasional (BN) dan UMNO juga tidak pernah memandang remeh kewujudan parti baharu dalam Pakatan Harapan itu yang mana pengasasnya berasal dari Kedah termasuklah bekas menteri besar (MB) dari negeri itu sendiri, Datuk Mukhriz Mahathir.

“Hakikatnya PPBM ini ditubuhkan golongan kecewa dan serpihan UMNO, bukanlah sebuah organisasi yang bersandarkan kepada perjuangan namun lebih untuk menyemai rasa benci dan dendam peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Asas penubuhan parti itu juga tidak boleh dijadikan sandaran oleh rakyat yang dahagakan agenda pembelaan tetapi sekadar menguntungkan segelintir kumpulan semata-mata,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambahnya, beliau yakin BN mampu mengekalkan kemenangan di negeri Jelapang Padi itu malah dengan majoriti yang lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.


“Kita dapat lihat kepimpinan negeri di bawah era Datuk Seri Ahmad Bashah sebagai MB.. kerja berpasukan kita lebih tersusun dan lebih praktikal. Jadi saya yakin, BN mampu mempertahankan Kedah malah bukan itu sahaja, kita akan menang dengan majoriti lebih besar.

“Namun saya akui, PRU akan datang adalah PRU yang amat mencabar tetapi kami tidak pernah beranggapan mana-mana pilihan raya adalah mudah.

“Tidak ada jalan mudah untuk menang. Kerja keras dan bersatu adalah kuncinya, kerana itu kami khususnya di Padang Terap sentiasa menjaga momentum untuk berhadapan dengan PRU, kerana itu jugalah kami tidak pernah memandang remeh kewujudan PPBM ini,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyokong penuh saranan Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang mahu sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dari BN bertanding dalam PRU14 akan datang.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Padang Terap menyifatkan bahawa Wanita UMNO mahupun Wanita BN akan tetap menjadi tulang belakang parti.

“Hakikatnya, Wanita UMNO hari ini terus berada dalam keadaan siap-siaga dan sedang memperkemaskan gerak kerja Jalinan Rakyat dan Jalinan Rakyat Plus untuk menghadapi PRU14 kelak.

“Pada bila-bila masa pun pilihan raya diadakan, kita sudah bersedia untuk menghadapinya. Selama ini, kita telah melakukan semua yang termampu untuk membela rakyat,” tambahnya. 

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post