Rakyat Kedah Diingatkan Jangan Ulangi Kesilapan - Ahmad Bashah


Rakyat Kedah diingatkan supaya tidak melakukan kesilapan dengan memberi kepercayaan kepada pihak pembangkang untuk menerajui negeri, kata YAB Menteri Besar Kedah, Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah berkata kesilapan itu boleh menyebabkan rakyat sengsara dengan janji-janji kosong yang telah ditaburkan oleh parti pembangkang.

"Lihat sahaja apa yang jadi di Parlimen Pokok Sena bila pihak pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.. semua yang dijanjikan tak kemana.


"Jadi jangan buat silap lagi.. Kalau mereka (pembangkang) menang, kita takut nanti dalam tempoh lima tahun lagi masyarakat Pokok Sena akan terus sengsara," katanya semasa berucap di Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pokok Sena di sini, hari ini.

Pada PRU13, kerusi Parlimen Pokok Sena telah dimenangi oleh wakil PAS, Datuk Mahfuz Omar manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada dimenangi YB Datuk Ahmad Lebai Sudin (BN) dan DUN Bukit Pinang dimenangi wakil PAS, Romani Wan Salim.

Ahmad Bashah berkata kesilapan memberi pihak pembangkang memerintah juga boleh menyebabkan sesuatu bahagian itu kehilangan peruntukan yang besar daripada Kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja melaksanakan pembangunan.

“Di Parlimen Pokok Sena sahaja kita hilang RM30 juta setahun dan ini menyebabkan kerja-kerja pembangunan dan perancangan yang ingin dilaksanakan tergendala. Sebelum dipilih, macam-macam janji yang rakyat dengar tetapi alih-alih tiada perubahan dan kemajuan.

“Jangan kerana janji-janji yang mereka taburkan, rakyat salah buat pilihan walhal UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mendengar keluh kesah rakyat walaupun berlainan kefahaman politik,” katanya.

Katanya, beliau yakin UMNO mampu memberikan yang terbaik buat masyarakat Pokok Sena sekiranya kawasan itu mampu dimenangi semula pada PRU akan datang.

 

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post