Jeniang Transfer, Naok Tak Babitkan Penempatan Semula - EXCO Kedah


Peruntukan lebih RM1 bilion untuk membangunkan projek Jeniang Transfer dan pembinaan empangan Naok di selatan Kedah, tidak membabitkan kos penempatan semula penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob, berkata bagaimanapun peruntukan itu meliputi kos pengambilan tanah penduduk.

"Dalam perancangan ini (Jeniang Transfer dan Naok) kita tak ada peruntukan untuk penempatan semula penduduk seperti projek empangan Beris (yang membabitkan penempatan semula penduduk).

"Peruntukan yang ada cuma untuk pengambilan tanah projek. Tanah yang diambil untuk projek ini akan dibayar oleh kerajaan. Maksudnya mereka (penduduk terjejas) beli sendiri (rumah).

Beliau berkata, seramai 150 penduduk terbabit dalam pengambilan tanah untuk projek itu meliputi dua kampung iaitu Kampung Kota Bukit dan Kampung Tala.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mahadzir Abdul Hamid (BN-Jeneri) ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Projek Jeniang Transfer dan empangan Naok yang akan membabitkan kawasan sekitar Sik dan Pendang, dirangka bagi mengelak Kedah berdepan dengan masalah bekalan air menjelang 2025.

Mengenai kos projek, Suraya berkata anggaran asal kira-kira RM1 bilion kini semakin meningkat dan kajian sedang dilakukan untuk agar kos tidak terlalu tinggi.

"Tujuan utama sekarang ialah untuk guna air dari empangan Beris kerana sekarang ini kita tak boleh guna langsung. Kita hanya bawa air (empangan Beris) ke Sungai Muda banyak digunakan oleh Pulau Pinang.

"Kita ada kaji untuk keluarkan Naok daripada cadangan pembangunan dengan membawa terus air dari empangan Beris ke selatan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda).

"Bagaimanapun kajian mendapati ia tak sesuai kerana ketiadaan kawasan tadahan (Naok) akan menyukarkan untuk kita hantar air sejauh 24 kilometer (km)," katanya.

INFO
Sasaran pengairan Jeniang Transfer dan Naok

34,000 hektar kawasan penanaman MADA

1,700 sawah di pinggiran MADA

Kawasan pertanian di sepanjang terusan dibina

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post