ALOR SETAR - Seramai 4,564 jemaah haji Kedah yang berdaftar dengan Tabung Haji (TH) bakal menerima sumbangan 'one-off' bernilai RM500 seorang daripada Kerajaan Negeri.
YAB Menteri Besar Kedah, Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah berkata sumbangan berjumlah lebih RM2.28 juta itu akan diberikan secara tunai kepada jemaah haji yang menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar.
"Seramai 2,785 jemaah yang akan berangkat melalui LTSAH antara 12 hingga 17 Ogos ini akan menerima sumbangan secara tunai yang akan disampaikan oleh saya (Ahmad Bashah) atau anggota Exco lain pada hari mereka berangkat.
"Bagi 1,779 jemaah yang sudah atau akan berangkat melalui lapangan terbang lain, sumbangan akan dimasukkan terus ke dalam akaun Tabung Haji mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Beliau berkata seramai 275 jemaah yang berasal dari Perlis dan menaiki penerbangan dari LTSAH turut akan menerima sumbangan tersebut.
Ahmad Bashah berkata sumbangan kali pertama yang diberikan itu diharapkan dapat membantu meringankan bebanan dan perbelanjaan jemaah haji di Tanah Suci nanti.
"Sebelum ini kita beri sumbangan juga tapi dalam bentuk lain seperti kain pelekat, kain telekung dan beg untuk digunakan oleh jemaah semasa berada di sana," katanya.
Sementara itu, beliau mengingatkan jemaah haji Kedah supaya mematuhi semua arahan yang dikeluarkan pihak TH bagi memastikan segala urusan haji para jemaah berjalan lancar.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersetuju membesarkan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bagi menampung jumlah pelancong yang datang ke pulau itu.
"Sebanyak RM80 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja pembesaran terminal lapangan terbang tersebut kerana pada masa ini ia terlalu padat untuk menampung jumlah pelancong yang datang," katanya. - Bernama