Piala FA 2017 Terbang Ke Bumi Darul Aman.

Image may contain: one or more people

PIALA FA sah menjadi milik Kedah setelah menumpaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Kedah merangkul trofi tersebut buat kali keempat sekali gus berjaya menempah slot ke Piala (Konfederasi Bola Sepak Asia) AFC musim hadapan.

Dua gol daripada Baddrol Bakhtiar nyata menjadi luka paling berbisa buat skuad kendalian Dollah Salleh untuk mencipta kejutan.

Jentera Lang Merah juga dilihat lebih selesa mengawal bola dengan dua perancang utamanya Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva Mendonca yang tampak hidup di bahagian tengah.

Malah, pujian juga harus diberikan kepada pemain sayap lincah Kedah, Mohd Syazwan Zainon yang menjadi kunci utama kepada gol skuad kendalian Mohd Nidzham Adzha Yusof.

Image may contain: one or more people, people playing sport and outdoor

Bagaimanapun, laluan bergelar juara buat Kedah tidak mudah apabila menerima tentangan sengit Pahang biarpun Tok Gajah bermain dengan 10 pemain sejak minit ke-32 selepas Francisco Insa dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Mohd Rizal Ghazali.

Skuad Hijau Kuning yang menampilkan corak taktikal serangan seawal wisel pertama nyata tidak sia-sia apabila Ken Ilso Larsen memecah kebuntuan gol pada minit ke-20 hasil hantaran Mohd Syazwan dari bahagian kiri benteng Pahang.

Gol tersebut menyuntik semangat pemain Kedah untuk menambah gol namun percubaan Sandro pada minit ke -26 sedikit tersasar.

Percubaan terbaik Pahang hanya tiba pada minit ke-36, namun tendangan import Tok Gajah, Matheus Alves Leandro terbias pertahanan Kedah.

Minit ke 45, Baddrol memanfaatkan keadaan kucar kacir di hadapan gawang Pahang apabila menendang leret untuk gol kedua Kedah.

Tidak mahu mengalah, Pahang merapatkan kedudukan di penghujung babak pertama hasil jaringan pemain import Korea Selatan, Heo Jaewon sekali gus mengurangkan defisit gol menuju waktu rehat.

Bersambung pada separuh masa kedua, Pahang dilihat lebih banyak mendominasi permainan dengan gerakan berbahaya daripada kedua-dua pemian sebelah sayapnya iaitu Mohamadou Sumareh dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Matheus Alves hampir menyamakan kedudukan buat Tok Gajah pada minit ke-55, namun percubaan hanya melewati palang gol.

Alves sekali lagi menghadirkan ancaman buat Kedah apabila dia dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-59 tetapi tidak diendahakn pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohamed.

Pahang hadir lagi pada minit ke-68 kali ini melalui import barunya dari Argentina, Yail Jorge Gonzalo Romero, akan tetapi percubaannya juga hanya melewati palang gol.

Kerancakkan Pahang menyerang menyaksikan benteng pertahanannya sekali lagi dihukum Baddrol yang mudah menolak masuk gol ketiga hasil hantaran Ken Ilso.

Kedah nyaris menambah satu lagi gol menerusi Liridon selepas dia merampas bola daripada Ahmad Syamim Yahya, namun situasi satu lawan satu dengan Wan Muhammad Azraie gagal dimanfaatkan sepenuhnya pemain import kelahiran Kosovo itu.

Seolah-olah tidak rela peluang menjuarai Piala FA berlalu begitu sahaja,Sumareh menghidupkan peluang dengan menjaringkan gol kedua buat Pahang yang menanduk hantaran Romero pada minit ke-80.

Bagaimanapun, usaha Pahang untuk mencari gol penyamaan tidak membuahkan hasil biarpun mempunyai banyak peluang terhidang

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post