ALOR SETAR - Kepuasan jelas terpancar di wajah penyerang Kedah Ken Ilso Larsen sebaik dia dan rakan sepasukan tiba di ruang ketibaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Alor Setar pada jam 4.15 petang semalam.
Skuad Helang Merah disambut kira kira 200 penyokong daripada kelab peminat bola sepak sekitar Alor Setar yang mahu melihat sendiri pasukan bersama Piala FA yang dimenangi selepas menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Shah Alam malam kelmarin.
"Ini final pertama untuk saya dan saya gembira dapat membuka jaringan pertama untuk Kedah pada minit ke-20 sekali gus membangkitkan semangat kepada Kedah meneruskan rentak permainan.
"Jumlah lima gol yang saya peroleh sepanjang perlawanan Piala FA yang membabitkan Kedah sejak Februari lalu akan terus menyuntik semangat dan motivasi kepada saya bersama pasukan Kedah.
"Saya juga sungguh teruja dengan lautan penyokong pasukan Kedah yang hadir memberi sokongan di Stadium Shah Alam semalam dan petang ini juga mereka tiba memberi penghargaan dan sambutan kepada kami.
"Saya berharap dapat terus membuktikan ketajaman saya dalam perlawanan akan datang dengan pengalaman yang telah saya lalui bersama pasukan Kedah sejak awal musim ini.
"Untuk semua penyokong Kedah saya ingin mengucapkan terima kasih diatas sokongan dan keyakinan yang diberikan kepada saya dan rakan yang akhirnya kami berjaya membawa pulang Piala FA, " kata Larsen yang turut mencatat nama sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol.
Salah satu daripada kelab penyokong yang hadir menyambut ketibaan pasukan, HKFC Kedah menerusi Presidennya Mohd Firdaus Azid berkata, dia dan wakil kelabnya hadir seawal jam 3 petang untuk melihat sendiri Piala FA dari jarak dekat.
"Ini peluang dan penantian kami selama sembilan tahun yang kami tunggu dan akhirnya kami dapat melihat sendiri Piala FA pulang ke Darul Aman dan inilah masanya generasi muda Kedah dapat melihat dan menyemarakkan semangat untuk berbakti kepada negeri Kedah seperti kejayaan yang dikecapi, " katanya.
Sumber: BH Online