Ahmad Bashah berkata ia berikutan kewujudan parti-parti baharu ketika ini seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang banyak menabur janji, kononnya lebih hebat dan mampu membawa kemajuan kepada rakyat.
“Kita ada kerajaan dan pimpinan yang hebat, BN telah banyak membawa perubahan, jangan kerana mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar Melalui Sistem Gred Nasional Sambungan Kabel Dasar Laut ke Pulau Tuba di sini semalam yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya sebagai menghargai kenyataan Perdana Menteri yang menyifatkan Kedah sebagai jantung hati UMNO Malaysia, rakyat di negeri Jelapang Padi sepatutnya perlu menyedari ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk memikul tugas tersebut.
“Apabila jadi jantung hati UMNO, kita harus melihat jauh ke depan, hari ini kerajaan BN selalu menepati janji dan kita telah mendapat begitu tinggi sanjungan dan budi ditaburkan perdana menteri di seluruh Kedah.
“Menjadi tanggungjawab kita rakyat Kedah tahu membalas budi…budi dah terima begitu banyak sekali, kalau nak mendapat keberkatan kita mesti menjadi insan yang tahu membalas budi dan ganjaran lebih hebat akan turun ke bumi Kedah,” katanya.- Bernama