SIK : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata semua pejabat tanah di semua daerah sudah diarahkan mempercepatkan proses permohonan geran tanah yang terlalu lama tertangguh.
Katanya, pihaknya memandang serius kelewatan terbabit yang sedikit sebanyak menyukarkan urusan berkaitan tanah pemohon. "Pejabat tanah perlu selesaikan segera perkara yang tertangguh dan sekiranya semua prosedur dan dokumen sudah lengkap dan tiada sebarang masalah, maka segerakannya.
"Selesaikan segera jika semuanya lengkap dan saya mahu ia diselesaikan menjelang akhir tahun ini," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian surat hak milik tanah kepada 351 peserta Felcra di padang awam Majlis Daerah Sik di sini, hari ini.
Majlis terbabit menyaksikan peserta yang terdiri 99 peserta dari Bandar Beris Jaya dan 252 dari Pulau Belantik menerima surat hak milik tanah masing-masing, merangkumi pemilikan perumahan dan ladang selepas hampir 14 tahun menanti. Ahmad Bashah berkata, pemberian terbabit memberikan mereka hak ke atas tanah yang diduduki selepas pengambilan tanah bagi projek Empangan Beris pada tahun 2000 iaitu kira-kira 17 tahun lalu.
"Kerajaan negeri menghadapi pelbagai isu yang perlu diselesaikan bagi membolehkan penduduk mendapat hak milik ke atas tanah terbabit. Proses ini tidak mudah, namun kerajaan negeri berusaha untuk mempercepatkan proses hak milik tanah bagi permohonan lain yang masih tertangguh," katanya.