PM Najib Razak Mahu Kedah Kekal Milik BN - Ahmad Bashah


ALOR SETAR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu UMNO Kedah bekerja keras supaya negeri ini terus kekal di bawah pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Najib memberitahu demikian pada pertemuan dengan kepimpinan UMNO Kedah termasuk Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di TH Hotel & Convention Centre di sini, hari isnin.

"Amanat Perdana Menteri suruh kita (UMNO Kedah) bersiap sedia kerana `kerja yang lebih besar' sudah pun dekat.

"Jadi, persiapannya semua peringkat parti kena turun bawah, kena turun ke Pusat Daerah Mengundi (PDM), masuk ke cawangan-cawangan dan memastikan untuk perkemas daftar pemilih untuk mendapat pengundi baharu," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Turut hadir pada pertemuan tertutup lebih sejam itu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah yang juga Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

hmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata dalam pertemuan itu, Najib yang juga Presiden UMNO turut mengulang beberapa kali mengenai pilihan raya umum dan mahukan UMNO Kedah memberikan penekanan terhadap perkara itu.

"Siapa yang banyak mendapat undi maka dialah yang akan menang. Jadi perkara ini perlu diberi perhatian oleh anggota parti," katanya.

Beliau berkata Najib turut menekankan tentang perpaduan dalam parti dan perlu bekerja secara berpasukan di semua peringkat.

"Yang penting, kita wajib pertahan kerusi yang ada baik di peringkat DUN dan Parlimen dan selain itu masa yang sama untuk menambah lagi kerusi.

"Ini adalah maruah kita untuk pertahankannya dan untuk memastikan parti bunga (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tidak mendapat tempat di negeri ini," katanya.

Ahmad Bashah berkata beliau telah memberi laporan tentang sasaran UMNO Kedah untuk memperoleh dua pertiga undi pada pilihan raya umum kelak dan perdana menteri meminta mereka berusaha mencapai sasaran itu.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kini dalam rangka lawatan ke negeri ini sehingga esok.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post