LANGKAWI - Kawasan tapak pelupusan sisa pepejal berdekatan Kampung Belanga Pecah di sini
bakal ditutup dan dibangunkan semula sebagai kawasan hijau, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, hari ini.
Katanya bagi melaksanakan perancangan ini, kementeriannya telah membuka tender untuk menjalankan operasi sebuah insinerator mini di Langkawi yang akan mengambilalih sepenuhnya kerja pelupusan itu.
"Apabila insinerator ini berjalan lancar, kita tidak perlukan tapak pelupusan sisa pepejal lagi. Kita akan tutup dan jadikan sebagai kawasan hijau, " katanya selepas meninjau kerja-kerja penambahbaikan tapak pelupusan sisa dan insinerator berkenaan.
Menurutnya sebuah syarikat telah diberikan kontrak untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan tapak pelupusan itu bagi membendung sebarang kejadian kebocoran sisa seperti yang berlaku di situ sebelum ini daripada berulang.
"Saya juga telah meminta kontraktor untuk menambah (ketinggian) benteng supaya sisa ini tidak melimpah keluar semasa musim hujan selain membuat perangkap sampah," katanya.
Noh berkata insinerator yang akan ditambahbaik itu akan memiliki kapasiti untuk melupuskan sekitar 100 tan sisa pepejal sehari dan cukup untuk memenuhi keperluan semasa di Langkawi.
Katanya langkah yang dibuat di Langkawi ini juga akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah pengurusan sisa pepejal di Cameron Highlands dan Pulau Pangkor.
Sementara itu, beliau juga mencadangkan supaya operasi dan penyelenggaraan insinerator ini dibuat oleh pihak swasta bagi mengurangkan bebanan kewangan kerajaan.
"Seperti hari ni (pada masa sekarang), kita (kerajaan) buat insinerator sampai berpuluh juta (ringgit) tapi akhirnya rosak. Bila rosak kerajaan kena baiki pulak," katanya.
Menerusi cadangan baharu ini, beliau berkata syarikat operator insinerator kelak dapat menghasilkan biomass yang boleh digunakan semula dari sisa pepejal yang diproses.- Bernama