MUKHRIZ DICABAR DEDAH AHLI UMNO MAHU SERTAI PPBM - KP UMNO KEDAH


ALOR SETAR : Datuk Seri Mukhriz Mahathir dicabar mendedahkan mana-mana ahli UMNO yang berjawatan yang mahu menganggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Naib Presiden PPBM itu juga diminta berhenti bermain politik tarik tali berhubung isu berkenaan.

Jelas Shaiful, secara realitinya Mukhriz harus sedar bahawa PPBM masih lagi tercari-cari rentak dan gagal menyakinkan rakyat untuk menyertai mereka.

"Kita cabar Mukhriz untuk mendedahkan siapa ahli UMNO yang berjawatan yang telah atau akan menyertai PPBM.

"Kita minta Mukhriz tidak berteka-teki atau bermain politik tarik tali apabila menyatakan bahawa ada ahli UMNO yang berjawatan telah menyatakan kesediaan untuk menyertai PPBM tetapi hanya di dalam diam dan rahsia.

"Kita anggap kenyataan ini tidak matang dan ia tidak perlu diambil serius," Jelas Dato Shaiful Hazizy

Sebelum ini, Mukhriz dilaporkan mahu bertanding di Kedah dan bukannya di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mukhriz juga dikatakan akan membawa parti itu ke Kedah dan bertanding di situ.

Mukhriz merupakan ADUN Ayer Hitam dan telah memenangi kerusi Parlimen Jerlun pada 2008.

Kata Mukhriz, PPBM mendapat sambutan menggalakan apabila penyertaan terhadap parti itu kini mencecah 500,000 ahli.

Malah menurutnya, terdapat juga ahli UMNO yang menyerahkan borang bagi menyertai PPBM.

Dalam pada itu jelas Shaiful, UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri disifatkan sedikit pun tidak terusik dengan ancaman Mukhriz atau PPBM.

"Kita ada urusan sendiri yang perlu diberi tumpuan iaitu gerakan mendaftarkan pengundi dan pengurusan parti yang lain.

"Mengenai kerusi yang ingin ditandingi Mukhriz, itu adalah haknya dan kita percaya rakyat serta ahli parti boleh menilai kemampuan dan keupayaannya," jelasnya.

Shaiful turut meminta semua kepimpinan UMNO serta BN negeri untuk terus menumpukan perhatian terhadap tugas-tugas yang diamanahkan pucuk pimpinan parti.

"Kita tidak perlu takut sekadar digertak dengan keahlian PPBM yang kononya bersifat rahsia.

"Apa yang perlu dibuat adalah yakin dan tumpukan perhatian pada tugasan dan tanggungjawab memberi khidmat kepada rakyat dan ahli parti," ujarnya
.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post