KUALA LUMPUR: Parti Bersatu yang ditubuhkan golongan kecewa dan serpihan UMNO bukanlah sebuah organisasi yang bersandarkan kepada perjuangan namun lebih untuk menyemai rasa benci dan dendam peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, asas penubuhan parti itu juga tidak boleh dijadikan sandaran oleh rakyat yang dahagakan agenda pembelaan tetapi sekadar menguntungkan segelintir kumpulan semata-mata.
"Kami tidak gentar dan mengajak seluruh ahli UMNO membulatkan kesetiaan terhadap presiden dan parti yang telah berjasa sejak 70 tahun lalu.
"Kami yakin dan percaya, reputasi serta jasa UMNO sudah cukup untuk menyemai keyakinan dan sokongan terhadap kerajaan sedia ada.
"UMNO itu sendiri adalah sebuah institusi yang cukup kukuh dan mampu menghadapi cabaran mahupun saingan daripada mana-mana parti pembangkang dan berkepentingan.
"Parti Bersatu hanya hiasan murahan dalam landskap politik negara. Rakyat sendiri akan menolak politik yang hanya berjuang isu peribadi begini," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Shaiful mengulas tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa yang menyerahkan permohonan untuk mendaftar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Kata Muhyiddin yang ditemui pemberita selepas menyerahkan borang permohonan pendaftaran parti mengumumkan nama parti baharu, yang terbuka kepada semua warganegara.
Muhyiddin turut memberitahu, Bersatu bersikap inklusif, dinamik progresif dan sikap sentiasa terbuka selain mempunyai agenda memelihara hak dan kebajikan setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Dalam pada itu Shaiful mengingatkan ahli UMNO agar tidak mudah percaya ataupun terpedaya dengan dakyah-dakyah pihak tertentu menggunakan kuasa luar bagi menggulingkan kerajaan sedia ada.
"Golongan ini disifatkan amat terdesak dan sanggup mengorbankan kedaulatan negara. Kami juga menggesa golongan ini segera disiasat dan pada masa yang sama gerakan 'subversif' mereka perlu segera dibongkarkan," jelasnya.
Bagaimanapun Shaiful turut menyarankan UMNO tidak terlalu selesa apabila berhadapan dengan parti berasaskan kebencian itu.
"Gerak kerja dan perancangan bagi menghadapi pilihanraya perlu diperkemaskan dan pada masa yang sama Bersatu harus dikuburkan dengan serta-merta tanpa memberi mereka ruang untuk merosakkan minda rakyat dengan politik kebencian".
"Hala tuju dan objektif Bersatu yang bercelaru ini akan menjadikan gerak kerja pakatan pembangkang semakin kabur dan sudah semestinya akan membawa ke arah kehancuran," ujarnya.
Namun begitu tambah Shaiful, pihaknya merasa lega apabila golongan kecewa itu membuat keputusan untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) tanpa terus menjadi gunting dalam lipatan.
"Kami yakin kerapuhan hala tuju dan kegagalan mereka membentuk struktur yang kuat hanya akan menjadi hiasan dalam warna politik negara tanpa memberi kesan terhadap keutuhan institusi UMNO itu sendiri," katanya.- awani