#UMNO Tetap Pilihan Majoriti Rakyat Kedah - Menteri Besar
ALOR SETAR - Meskipun segelintir rakyat Kedah memilih untuk bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, namun keseluruhan rakyat Kedah diyakini akan terus memberi kepercayaan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menerajui pentadbiran di negeri berkenaan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, walaupun Mahathir pernah berjasa kepada negara, namun pengkhianatan bekas Presiden UMNO itu baru-baru ini terhadap parti akan membuka mata rakyat Kedah tentang agenda sebenar beliau.
"Mungkin ada segelintir orang yang akan bersama dengan mereka, tetapi saya percaya orang Melayu lebih melihat perjuangan UMNO daripada awal (merdeka) dulu hingga hari ini, mereka sudah merasai segala nikmat hasil dari perjuangan UMNO.
"Walaupun kita tahu jasa Tun M ada, tapi kebelakangan ini apa yang telah dibuat oleh Tun M untuk mengkhianati perjuangan orang Melayu itu dapat dilihat," tegas beliau sejurus selesai mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang berlangsung di ibu negara, petang tadi.
Ahmad Bashah diminta wakil media mengulas mengenai penubuhan parti baru yang dipohon bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dan dakwaan kononnya Kedah merupakan antara negeri yang disasar untuk dirampas pembangkang pada PRU ke-14 nanti.
Mengulas lanjut, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu berkata, beliau baru berjumpa dengan keempat-empat sayap UMNO Bahagian Jerlun baru-baru ini dan mereka sebulat suara senada memberikan komitmen penuh terhadap kepimpinan parti keramat bangsa itu.
"Semalam saya berjumpa dengan jawatankuasa UMNO Bahagian Jerlun.
"Keseluruhan mereka menegaskan komitmen daripada jawatankuasa keempat-empat sayap Bahagian, Pemuda, Wanita, Puteri Jerlun untuk terus bersama dengan kepimpinan yang ada, sama ada di peringkat Federal ataupun di peringkat negeri," jelas beliau lagi.
Mengulas mengenai masa depan parti baru tersebut, Ahmad Bashah menjangkakan parti tersebut akan senasib dengan parti serpihan UMNO sebelum ini yang terkubur begitu saja ekoran keyakinan pengundi lebih mengikritaf khidmat yang diberikan BN selama ini.
"Parti serpihan itu saya yakin tidak akan dapat bertahan lama.
"Sebelum ini pun sudah banyak parti serpihan yang diwujudkan oleh orang yang tidak puas hati dengan pemimpin UMNO, dia tubuh parti baru. Kesudahannya parti itu terkubur begitu saja.
"Dan saya yakin parti ini pun akan ikut langkah yang sama kerana orang Melayu lebih yakin kepada perjuangan UMNO," katanya.
Ahmad Bashah mengadakan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di ibu negara ekoran beliau perlu mengadap Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehhuddin Sultan Badlishah, yang difahamkan berada di ibu negara- KedahNews.com