PUTRAJAYA – Malaysia menduduki kerusi Presiden Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Ogos 2016 berkuat kuasa 1 Ogos.
Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini berkata ini kali kedua Malaysia menjadi Presiden Majlis Keselamatan sejak dipilih menjadi anggota tidak tetap bagi penggal 2015-2016.
Sewaktu tempoh menjadi presiden, Wisma Putra berkata Malaysia bercadang mengadakan Debat Terbuka Majlis Keselamatan mengenai isu Kanak-kanak dan Konflik Bersenjata (CAAC) pada 2 Ogos.
Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon akan mengambil bahagian dalam Debat Terbuka itu bagi membentangkan laporan tahunannya berkaitan perlanggaran hak kanak-kanak dalam keadaan konflik bersenjata, katanya.
Pada Debat Terbuka itu, anggota PBB dijangka memberi penerangan mengenai pencapaian dalam meningkatkan perlindungan kanak-kanak dalam konflik bersenjata dan cara menangani cabaran yang berterusan, termasuk pelanggaran hak kanak-kanak oleh kumpulan bersenjata bukan anggota, katanya.
Malaysia ketika ini adalah Pengerusi Kumpulan Kerja Mengenai Kanak-kanak dan Konflik Bersenjata Majlis Keselamatan.
Kenyataan Wisma Putra itu menyebut Malaysia merancang mengadakan Debat Terbuka peringkat menteri bagi mencegah percambahan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) pada 23 Ogos ini, dengan tumpuan khusus kepada negara bukan anggota.
“Debat Terbuka itu bertujuan menangani ancaman baharu dan cabaran dalam mencegah percambahan WMD, bahan berkaitan dan teknologi kepada negara bukan anggota,” katanya.
Perkara lain yang akan dibincangkan oleh Majlis Keselamatan sewaktu Malaysia menjadi pengerusi pada Ogos adalah isu Palestin, Yemen, Syria, Lubnan, Libya, Kosovo, Sudan/Sudan Selatan dan Guinea-Bissau.
Sebagai Presiden Majlis Keselamatan, katanya, Malaysia akan membantu proses pemilihan oleh Majlis Keselamatan bagi jawatan Setiausaha Agung PBB berikutnya.
Ban dijangka menamatkan penggal memegang jawatan setiausaha agung pada akhir tahun ini.
Dalam tempoh sebagai presiden, Malaysia juga akan terus memberi tumpuan kepada resolusi konflik secara aman, kesederhanaan, perlindungan orang awam, dan kedaulatan undang-undang.
“Sebagai anggota Majlis Keselamatan, Malaysia mahu terus memberi sumbangan yang membina terhadap usaha Majlis Keselamatan mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, ” menurut kenyataan itu. – Bernama